suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga asing hasil risikan selama tiga bulan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi berkenaan membabitkan 23 pegawai dari Unit Risikan dan Operasi, Sektor Operasi Bahagian Penguat kuasa.
Katanya, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pemalsuan sejak lapan hingga 12 bulan lalu dengan menyasarkan pelanggan warga Indonesia.
“Sindiket berkenaan menawarkan perkhidmatan membuat Cap Keselamatan Imigresen palsu, Pasport Antarabangsa Indonesia yang diubah suai, serta slip e-pass Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik Jabatan Imigresen Malaysia yang turut dipalsukan.
“Antara kadar bayaran yang dikenakan ialah RM120 bagi mendapatkan cap Pas Lawatan Sosial, RM350 bagi pasport Indonesia yang telah diubah, dan RM100 untuk slip e-pass PLKS JIM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, dalam operasi jam 9 malam, 21 Oktober lalu, sepasukan pegawai menggempur sebuah kenderaan peribadi ahli sindiket yang dipercayai menunggu pelanggan untuk membuat serahan.
“Dalam serbuan itu, pasukan merampas empat pasport Indonesia palsu dan menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki bersubahat, serta seorang lelaki Indonesia yang menjadi ‘runner utama’ sindiket.
“Turut disita sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan dalam kegiatan terbabit.
“Hasil serbuan pertama itu membawa pasukan ke sebuah rumah flat yang disyaki dijadikan tempat menghasilkan pasport,” katanya.
Mohammed Saupee berkata, serbuan kedua kemudian dijalankan dan pasukan berjaya merampas satu komputer, mesin pencetak, mesin laminate serta lapan getah cap keselamatan pelbagai pintu masuk negara.
“Turut ditemui tiga pasport yang diubah pada muka surat maklumat peribadi serta dua pelekat MALPASS (Malaysia Automated Passport System) yang disyaki palsu,” katanya.
Katanya, maklumat daripada suspek membawa kepada serbuan ketiga di kawasan berhampiran.
“Dalam serbuan itu, pasukan merampas 25 getah cap keselamatan imigresen pelbagai pintu masuk Malaysia dan beberapa dokumen rasmi yang disyaki dipalsukan.
“Selain itu, seorang lelaki warga asing yang juga pelanggan turut ditahan bersama wang tunai RM1,400,” katanya.
Menurutnya, lima lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga Indonesia ditahan dalam serbuan itu.
“Mereka disiasat mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




