suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tatakelola baik perlu dijadikan budaya nasional merentasi sektor, dengan undang-undang baharu bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara telus dan berakauntabiliti.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tatakelola baik bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa atau agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya amanah bersama yang menuntut keberanian dasar, institusi kukuh serta kepimpinan beretika dalam sektor awam dan swasta.
“Reformasi tatakelola negara sejak lima tahun kebelakangan ini menunjukkan perkembangan ketara melalui pelaksanaan pelbagai pembaharuan undang-undang dan pengukuhan mekanisme pemantauan.
“Antara langkah penting termasuk penggubalan Akta Perolehan Kerajaan 2025, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Audit 1957 yang memperluaskan bidang kuasa Jabatan Audit Negara bagi memastikan setiap sen wang rakyat boleh dijejaki serta dibelanjakan mengikut peraturan dan tujuan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Tatakelola Baik: Agenda Nasional, Tanggungjawab Bersama anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM, Datuk Idris Zaharudin; Pengarah Kanan Bahagian Dasar Pelabur dan Pemudahan Perdagangan MITI, Dr. Ummi Nasrah Othman; Pengerusi Bersama PEMUDAH, Datuk Dr. Haji Ameer Ali Mydin dan pemimpin persatuan perdagangan, industri serta dewan perniagaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dahulu banyak rangka kerja kawal selia hanya bersifat pentadbiran dan bergantung kepada pekeliling serta garis panduan dalaman.
“Kini, melalui undang-undang baharu ini, kita berdiri di atas asas tatakelola lebih kukuh dan telus,” katanya.
Menurutnya, Akta Perolehan Kerajaan yang baharu diluluskan Parlimen merupakan langkah besar ke arah memastikan proses perbelanjaan awam yang adil, telus dan bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan ketirisan serta penyalahgunaan kuasa.
“Sementara itu, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pula memperkukuh jaminan terhadap individu yang tampil mendedahkan salah laku, manakala pindaan Akta Audit membolehkan pengauditan turut meliputi entiti yang menerima dana awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Audit bukan sekadar laporan di atas kertas. Setiap kelemahan mesti diperbetulkan dan tindakan perlu diambil tanpa kompromi. Tiada siapa terkecuali daripada undang-undang,” katanya.
Menurutnya, SPRM juga komited meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi mengenal pasti kelemahan tatakelola serta potensi salah laku dalam agensi kerajaan dan GLC, selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara bagi mempercepatkan siasatan dan tindakan susulan.
Dalam pada itu, Azam turut mengingatkan sektor korporat supaya menjadi rakan strategik dalam memperkukuh integriti nasional dengan bukan sahaja memperjuangkan kemudahan urus niaga, tetapi juga memastikan urus niaga dijalankan secara beretika dan berprinsip.
© New Straits Times Press (M) Bhd




