Lelaki ditahan, polis rungkai 14 kes samun ragut di dua negeri

Lelaki ditahan, polis rungkai 14 kes samun ragut di dua negeri

am@hmetro.com.my

Georgetown: Lelaki yang disyaki terbabit kegiatan samun ragut di dua negeri, diberkas dalam satu serbuan di Sitiawan, Perak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dalam serbuan di sebuah rumah jam 2 pagi, 12 Oktober lalu.

Katanya, turut dirampas ialah sebuah motosikal disyaki digunakan bagi melakukan kegiatan berkenaan.

“Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes samun ragut sehingga mendatangkan cedera di daerah Timur Laut.

“Susulan penahanan suspek, polis berjaya merungkai sebanyak 11 kes samun ragut di sekitar Pulau Pinang dan tiga lagi di Kulim, Kedah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azizee berkata, modus operandi suspek ialah menunggang motosikal dan menyasarkan penunggang motosikal lelaki yang memakai rantai emas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera pada melakukan rompakan.

“Suspek ditahan reman selama 10 hari bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai sebanyak lapan rekod jenayah dan enam berkaitan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.

“PDRM menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top