sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan TRW boleh menarik nafas lega apabila beberapa pemain utama termasuk import, Habib Haroon disahkan pulih menjelang aksi Liga Super menentang Melaka FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Penolong Ketua Jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, selepas mempamerkan peningkatan prestasi pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah, 18 Oktober lalu, beliau kini mengharapkan pasukan mampu membawa tiga mata berharga pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Menurutnya, KRW tidak memandang rendah kemampuan lawan kerana Melaka FC memiliki gabungan import dan pemain tempatan yang baik.
“Mereka (Melaka) mampu memberikan cabaran sengit jika tidak diberi perhatian. Fokus utama kami adalah mengekalkan konsistensi dalam saingan liga,” katanya ketika dihubungi.
Bekas tonggak kebangsaan itu berharap setiap pemainnya berada dalam tahap terbaik dari segi fizikal dan mental demi kecemerlangan pasukan.
Akmal yang menggantikan ketua jurulatih E Elavarasan pada 16 Oktober lalu bertekad mengecap kemenangan sulung bagi membuktikan kemampuan mengendalikan pasukan.
Kelantan TRW kini menduduki tangga ke tujuh liga selepas menang dua perlawanan, dua seri dan tiga kekalahan musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




