am@hmetro.com.my
Kampar: Seramai 19 warga asing antara 27 individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), kelmarin, kerana menjalankan aktiviti kuari bijih timah secara haram di sekitar daerah ini membabitkan rampasan bernilai RM28 juta.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, penahanan itu membabitkan lapan individu warga tempatan termasuk seorang wanita, 10 lelaki warga China termasuk pengurus tapak kuari, lapan lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Nepal.
Menurutnya, antara yang dirampas dalam operasi itu adalah bijih timah dengan anggaran berat 4.5 tan metrik, 60 beg jumbo berisi bahan mineral kasar seberat 30 tan metrik, pelbagai jenis mesin pemprosesan bijih timah dan jentera bernilai RM28.73 juta.
“Serbuan dilaksanakan kerana mereka menjalankan aktiviti kuari bijih timah secara haram tanpa sebarang permit dan kelulusan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati kesemua warga asing yang bekerja melanggar syarat dengan menggunakan pas pelawat ke negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kegiatan itu dijalankan sejak Julai tahun lalu.
Katanya, operasi dijalankan oleh Cawangan Risik Briged Utara PGA Ulu Kinta bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak serta Jabatan Mineral dan Geosains Perak hasil risikan dijalankan selama sebulan.
Shahrum berkata, kesalahan melombong bijih timah secara haram disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Enakmen Mineral Perak 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pendatang asing tanpa izin yang ditahan pula, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) iaitu melanggar syarat tinggal selain mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 yang merujuk kepada kesalahan melanggar syarat pas atau permit di Malaysia.
“Kejayaan operasi ini berjaya menyelamatkan hasil bumi dari terus dicuri individu tidak bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




