am@hmetro.com.my
Bandar Baharu: Hujan lebat berterusan melebihi empat jam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini terjejas akibat banjir kilat sejak jam 7 petang.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairudin berkata, akibat hujan lebat yang berterusan itu menyebabkan dua buah rumah yang didiami 11 penduduk di Kampung Terap Dalam, Mukim Selama dinaiki air.
Beliau berkata, selain itu, kawasan yang terjejas banjir adalah di Kampung Sungai Tengas, Mukim Selama.
“Bagaimanapun Kampung Sungai Punti, Mukim Serdang pula hanya air melintasi laluan utama di kawasan itu.
“Anggota kami turut melakukan pemantauan di lokasi kejadian iaitu di Kampung Terap Dalam, Kampung Sungai Tengas dan Kampung Sungai Punti.
“Hasil pemantauan mendapati trend air di kawasan terjejas menunjukkan kadar kenaikan dan kesemua jumlah rumah dan mangsa masih dalam bancian oleh pihak APM Daerah Bandar Baharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Abdul Rahim berkata, sekiranya keadaan banjir semakin meningkat, berkemungkinan pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka.
Beliau berkata, setakat ini empat sungai di daerah itu iaitu Sungai Punti, Sungai Serdang, Sungai Terap Dalam dan Sungai Terunsing sudah melepasi paras bahaya.
“Setakat ini, anggota APM Bandar Baharu akan terus melakukan pemantauan di lokasi yang dinaiki air dan penyelamatan akan dilakukan jika air terus meningkat.
“Keadaan sekarang ini masih hujan dan operasi pemantauan masih dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



