am@hmetro.com.my
Kulim: Lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini susulan banjir yang melanda akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Alif Ahmad berkata, PPS yang dibuka setakat ini adalah di Taman Sang Kancil; PPS di Sekolah Menengah Agama (SMK) Insaniah, Jangkang; PPS Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok, Sungai Ular; PPS Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Khi Min), Pekan Karangan dan PPS Sekolah Kebangsaan Pagar Museh.
Beliau berkata, maklumat lanjut akan menyusul berikutan operasi penyelamatan dan pemantauan masih dilakukan ketika ini.
Untuk rekod, dua PPS iaitu Taman Sang Kancil dan Dewan Surau Kampung Paya Tok Betok baru ditutup pada 19 Oktober lalu susulan banjir kilat yang melanda daerah itu sebelum ini.
Sementara itu di Sungai Petani, jumlah mangsa banjir akibat air pasang besar di Kampung Huma, Tanjung Dawai yang ditempatkan PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng meningkat kepada 52 mangsa daripada 24 keluarga setakat jam 12 tengah malam tadi.
Jumlah itu meningkat berbanding 50 mangsa daripada 23 keluarga yang dilaporkan sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




