Subang Jaya: Pengendali perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride mengambil langkah untuk menangani maklum balas dan kebimbangan terkini daripada pengguna serta pemandu di kawasan Subang.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata syarikat itu mengakui cabaran yang dihadapi semasa pelancaran awal dan telah mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh operasi, kualiti perkhidmatan dan pembabitan pemandu.
“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan dan memberikan nilai sebenar kepada pemandu serta penumpang.
“Kami belajar daripada kesilapan lalu, dan kali ini kami akan kembali dengan lebih kuat dengan sistem yang lebih baik, sokongan yang dipertingkat, dan pendekatan berteraskan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kabeer berkata syarikat itu juga menyusun semula pasukan dalaman dengan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) perkhidmatan yang lebih ketat, serta memperkenalkan inisiatif baharu bagi memastikan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Katanya, GV Ride kekal komited terhadap komunikasi yang telus dan pembabitan komuniti yang tulen ketika ia bersiap sedia untuk kemasukan semula rasminya ke Subang.
Sebelum ini, GV Ride melancarkan kempen “Free Rides Subang” atau “tambang percuma” sepanjang April lalu kepada penduduk dan pengunjung di sekitar Subang Jaya.
Kabeer berkata promosi itu terhad kepada jumlah subsidi RM500,000 dan akan berakhir sebaik sahaja peruntukan ini digunakan sepenuhnya.
Pada masa sama, pihak GV Ride juga berharap tawaran itu dapat memberikan manfaat kepada penduduk Subang Jaya dalam mendapatkan perkhidmatan pengangkutan yang mudah, selamat dan dipercayai.
GV Ride ialah platform e-hailing yang semakin meningkat di Malaysia, komited untuk mentransformasikan cara rakyat bergerak, menjadikan perjalanan harian lebih mampu milik, lebih selamat dan mesra pemandu.
Dengan fokus terhadap inovasi, kebolehpercayaan dan reka bentuk berorientasikan manusia, GV Ride mencipta pengalaman yang lancar untuk penumpang dan pemandu di seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




