redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sakit atau uzur bukan hanya kewajipan setiap anak malah asbab mendapat keredaan Allah SWT dan jalan ke syurga.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, pengorbanan berhenti kerja demi menjaga ibu bapa juga bukan satu kerugian kerana ganjaran lebih besar menanti di akhirat kelak.
“Dalam dunia moden yang sibuk, kita perlu kembali menanamkan nilai ihsan terhadap orang tua.
“Anak-anak jangan abaikan ibu bapa mereka dan masyarakat pula usah membiarkan warga emas yang tiada waris hidup sendirian tanpa perhatian.
“Menjaga orang tua, sama ada ibu bapa sendiri atau warga emas lain adalah cerminan iman, kerana Nabi SAW mengajarkan ‘Sesungguhnya Allah tidak akan merahmati orang yang tidak merahmati manusia yang lain’ (Riwayat Al-Bukhari),” katanya.
Menurut Mohd Sukki, pengorbanan anak dalam menjaga ibu bapa tidak akan sia-sia kerana banyak kelebihan daripada kebaikan dilakukan itu.
Beliau berkata, salah satu kelebihan itu adalah mendapat doa yang mustajab daripada ibu bapa.
“Dalam hadis disebut bahawa doa ibu bapa termasuk dalam doa yang tiada hijabnya. Apabila ibu bapa mendoakan kebaikan anak yang menjaganya, itu adalah lebih bernilai daripada segala harta dunia.
“Anak yang berbakti kepada ibu bapanya akan diberi rezeki yang luas dan umur yang penuh keberkatan. Hadis riwayat Ahmad menyebut ‘Sesiapa yang suka diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.’ Ibu bapa adalah silaturahim paling utama.
“Cuma realitinya, menjaga ibu bapa yang uzur bukan suatu tugas yang mudah kerana menuntut kesabaran tinggi kerana membabitkan aspek fizikal, emosi (menghadapi kerenah), dan kewangan (menanggung kos perubatan).
“Daripada sudut syarak, pengorbanan itu bukan suatu kerugian, sebaliknya menjadi ia akan menjadi saham akhirat malah rezeki anak itu akan diganti dengan cara yang tidak disangka-sangka,” katanya.
Beliau berkata, ujian besar dalam kehidupan adalah ketika ibu bapa yang dukunya kuat dan gagah meningkat usia hingga jatuh sakit atau uzur.
Katanya, ketika itu, peranan anak akan diuji bagi melihat sejauh mana mereka berkorban masa, tenaga, malah kerjaya demi menjaga ibu bapa.
“Pada masa yang sama, kita juga berdepan dengan cabaran masyarakat menua yang memerlukan lebih ramai pihak tampil menjaga warga emas bukan sekadar ibu bapa kandung, tetapi juga individu tiada waris atau yang terlantar.
“Dalam Islam, kedua-dua aspek iaitu berbakti kepada ibu bapa dan berkhidmat kepada warga emas adalah suatu tuntutan dalam agama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




