zahratulhayat@nst.com.my
Ipoh: Sejumlah 2,171 mangsa banjir daripada 759 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Manjung dan Larut, Matang dan Selama setakat jam 8 pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa tiga pusat pemindahan dibuka di Manjung, manakala 19 pusat lagi beroperasi di daerah Larut, Matang dan Selama.
Antara kawasan yang terjejas di daerah Larut, Matang dan Selama ialah Kampung Simpang Halt, Kampung Sungai Baru, Kampung Salak Baru, Kampung Sungai Lubok, Kampung Masjid, Kampung Batu 8, Kampung Batu 9 dan Kampung Ulu Sepetang.
Kawasan terjejas lain termasuk Kampung Jelapang Jaya, Taman Simpang Makmur, Kampung Sungai Batu Teguh, Taman Simpang, Kampung Baru Simpang, Kampung Batu 27 Hampar, Kampung Jawa dan Kampung Kelubong.
Turut terjejas ialah Taman Kota Wira, Taman Kamunting Tiara, Taman Lara Aman, Taman Lara Damai, Kampung Changkat Larah, Kampung Paya dan Kampung Tengah.
Sementara itu, di daerah Manjung, kawasan yang terjejas ialah Kampung Nelayan, Kampung Sungai Batu, Taman Pantai Wang, Kampung Lorong Masjid, Pantai Tin dan Kampung Padang Serai.
Kawasan lain termasuk Kampung Tersusun, Taman Anggerik dan Kampung Pulau Kabung.
Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taiping di Lebuhraya Utara–Selatan ditutup sementara susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan genangan air di kawasan tersebut.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS), menerusi satu hantaran di akaun X mereka, menyatakan penutupan itu perlu bagi memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya.
Setakat jam 7.54 pagi, surau di Hentian Sebelah (lay-by) arah utara Taiping masih ditutup, menurut pengendali konsesi itu melalui kemas kini trafik rasmi mereka.
Pada jam 7.21 pagi, lorong kecemasan dan lorong kiri antara KM214.3 dan KM215.0 (arah selatan) juga masih ditutup.
Terdahulu, pada jam 7.14 pagi, PLUS telah memberi amaran kepada pengguna jalan raya mengenai kawasan banjir di Hentian Sebelah Taiping arah selatan, melibatkan laluan antara Taiping (arah utara) dan Changkat Jering.
“R&R Taiping (kedua-dua hala) akan kekal ditutup sehingga notis lanjut disebabkan oleh genangan air berikutan hujan lebat di kawasan itu,” kata PLUS.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya dan menggunakan kemudahan berdekatan di R&R Bukit Gantang atau Bukit Merah sementara perhentian Taiping ditutup.
© New Straits Times Press (M) Bhd




