New York: Dunia bola keranjang Amerika Syarikat digemparkan apabila jurulatih Portland Trail Blazers, Chauncey Billups, pemain Miami Heat, Terry Rozier, serta bekas pemain dan penolong jurulatih Damon Jones ditahan, atas dakwaan terbabit dalam skandal perjudian besar-besaran yang menggoncang NBA, semalam.
Menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Rozier dan beberapa rakan yang terbabit dalam konspirasi berkenaan dan ada yang dikenal pasti serta ada yang belum.
Mereka didakwa menyalurkan maklumat dalaman kepada pertaruh sukan, termasuk maklumat mengenai pemain yang tidak tahu rahsia mereka digunakan bagi tujuan pertaruhan.
Pihak berkuasa mendakwa Rozier, yang ketika itu pemain utama Charlotte Hornets, memberitahu seorang rakan konspirasi bahawa dia merancang untuk meninggalkan perlawanan lebih awal akibat kecederaan.
Berdasarkan maklumat itu, pertaruh meletakkan taruhan melebihi AS$200,000 (kira-kira RM955,000) terhadap ramalan statistik perlawanan membabitkan Rozier.
Rozier kemudiannya meninggalkan gelanggang selepas sembilan minit permainan dengan alasan kecederaan kaki dan pertaruhan itu membuahkan keuntungan puluhan ribu dolar (RM ratusan ribu), menurut pendakwa raya yang turut mendakwa Rozier bertemu rakan konspirasi di rumahnya untuk mengira hasil kemenangan.
Dalam pada itu, Trail Blazers tewas 96-124 kepada Chicago Bulls selepas merehatkan beberapa tonggak utama termasuk Damian Lillard, Jusuf Nurkic, Jerami Grant dan Anfernee Simons.
Menurut pertuduhan mahkamah, defendan Eric Earnest dimaklumkan oleh “rakan konspirasi” yang tidak dinamakan bahawa Blazers sengaja menurunkan prestasi bagi meningkatkan peluang mendapat pilihan lebih baik dalam draf NBA akan datang.
Maklumat dalaman itu digunakan untuk membuat pertaruhan lebih AS$100,000 (sekitar RM478,000) terhadap kekalahan Blazers, yang akhirnya menghasilkan keuntungan besar sebelum maklumat berkenaan diumumkan kepada umum atau syarikat pertaruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




