Kuala Lumpur: Lebih separuh rakyat Malaysia berasa keadaan kewangan mereka bertambah baik berbanding tahun lalu, manakala hampir separuh menggambarkan diri mereka kini lebih stabil dari segi kewangan berdasarkan laporan terbaharu Vodus Research.
Kajian bertajuk Financial Resilience and Investment Behaviour: Understanding Malaysian Consumer Concerns, Habits, and Vulnerabilities itu adalah sebahagian daripada Kajian Sentimen Pengguna Vodus Research 2025, yang dijalankan pada Ogos lalu membabitkan 10,673 responden dari seluruh Malaysia merangkumi pelbagai demografi dan tahap pendapatan.
Laporan berkenaan menunjukkan rakyat Malaysia semakin menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan ekonomi semasa melalui gabungan realisme dan ketahanan, namun dua daripada lima responden mengakui keadaan kewangan mereka menurun disebabkan kelemahan ekonomi dan tekanan kos sara hidup walaupun ramai merasakan situasi mereka bertambah baik.
Pengasas Vodus Research, Kelvin Goh, berkata rakyat Malaysia kini mengurus kewangan dengan sikap optimis tetapi masih dalam keadaan berhati-hati, kebimbangan terhadap inflasi, keselamatan pekerjaan dan keadaan ekonomi keseluruhan.
“Peningkatan jumlah pengguna yang menggambarkan keadaan mereka sebagai “tidak berubah tetapi bimbang” menunjukkan bahawa walaupun dalam keadaan stabil, rakyat Malaysia masih berwaspada terhadap risiko kewangan dan kejutan secara luaran,” katanya.
Selain itu, kajian mendapati tumpuan utama rakyat Malaysia pada 2025 ialah terhadap realiti kewangan harian dan kesejahteraan keluarga, mencerminkan sikap pragmatik hasil daripada gaya hidup serta cabaran ekonomi semasa, dengan ramai pengguna mengurus perbelanjaan secara lebih berhati-hati sambil mengekalkan aspirasi untuk kestabilan dan kualiti hidup.
Antara lima kebimbangan utama yang dikenal pasti dari segi aspek kumpulan umur ialah keadaan ekonomi yang tidak menentu (25 hingga 44 tahun); kesihatan dan kebahagiaan keluarga (55 tahun dan keatas); kesihatan serta kesejahteraan diri (55 tahun dan keatas); isu kewangan peribadi (35 hingga 44 tahun); serta inflasi yang berterusan (25 hingga 34 tahun).
“Pemerhatian ini menunjukkan bahawa walaupun aspek kesejahteraan peribadi kekal penting, faktor ekonomi kini menjadi pengaruh utama dalam membuat keputusan kewangan, malah mereka yang berasa lebih baik dari segi kewangan turut semakin peka terhadap perkembangan ekonomi negara dan global,” katanya.
Secara keseluruhannya, kajian berkenaan menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia bersikap stabil namun berhati-hati, dengan corak pengurusan kewangan yang pragmatik meliputi usaha melindungi kestabilan isi rumah, mengurus perbelanjaan harian secara bijak serta bersedia menghadapi cabaran mendatang.
“Gabungan keyakinan dan sikap waspada ini menandakan kematangan ketika rakyat mengurus kewangan.
“Mereka bukan sahaja bertindak balas terhadap tekanan jangka pendek, tetapi turut merancang dan menyesuaikan diri untuk jangka panjang,” katanya
Goh menambah bahawa pemahaman terhadap keutamaan dan kebimbangan pengguna seperti yang ditunjukkan dalam laporan ini penting untuk pembuat dasar, perniagaan dan institusi kewangan dalam merangka strategi yang menyokong keyakinan serta ketahanan kewangan isi rumah Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




