Jerat sindiket pemerdagangan orang: Dijanjikan bulan bintang, rupanya dipaksa kerja tanpa gaji dan permit

Jerat sindiket pemerdagangan orang: Dijanjikan bulan bintang, rupanya dipaksa kerja tanpa gaji dan permit

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan 40 wanita warga Indonesia dengan menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di sebalik sebuah agensi pekerja asing dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang membawa kepada penahanan empat individu, termasuk dalang utama sindiket dijalankan oleh pegawai Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM.

“Suspek yang ditahan adalah seorang wanita warga tempatan dan tiga warga Indonesia (seorang wanita dan dua lelaki) berusia antara 28 hingga 50 tahun.

“Mangsa yang diselamatkan berusia antara 21 hingga 51 tahun dan sudah berada di Malaysia antara satu hingga tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, turut disita 12 pasport Indonesia bukan milik mangsa yang diselamatkan yang dipercayai milik warga asing yang pernah diuruskan oleh sindiket disita bagi tujuan pengesanan serta siasatan lanjut.

“Sindiket disyaki menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan termasuk menguruskan pas kerja yang sah serta menjanjikan gaji yang tinggi.

“Namun sebaik tiba di Malaysia, mangsa ditempatkan di rumah yang disediakan sindiket dan diarahkan bekerja sebagai pembantu rumah harian atau pekerja pembersihan tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah termasuk tidak menerima gaji yang dijanjikan,” katanya.

Zakaria berkata, beberapa mangsa memiliki PLKS atas nama majikan, namun sebenarnya mereka tidak bekerja dengan majikan itu.

Katanya, tindakan ini dipercayai dilakukan oleh agensi pekerjaan asing yang bersekongkol dengan majikan tertentu.

“JIM tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang bekerjasama dengan agensi tersebut bagi tujuan memohon pembantu rumah atas nama mereka sebagai balasan atau untuk mengaut keuntungan.

“Sindiket berkenaan turut mengawal pergerakan mangsa dengan menghantar dan mengambil mereka dari tempat kerja, selain tidak membayar gaji yang dijanjikan serta menyimpan pasport mangsa bagi menghalang sebarang percubaan melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 manakala mangsa telah diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan ditempatkan di Rumah Perlindungan.

Katanya, pasukan operasi menggunakan pendekatan siasatan awal bagi mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya menegaskan komitmen dalam membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), serta warga asing yang memasuki atau tinggal di negara ini secara haram.

“Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta ATIPSOM (Akta 670) boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada, melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, dan tidak membantu pihak yang melanggar undang-undang JIM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top