am@hmetro.com.my
Taiping: Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM1.2 juta bagi kerja mendalamkan sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di daerah Larut, Matang dan Selama, susulan kejadian banjir teruk yang berlaku sejak awal Oktober lalu.
Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Neow Choo Seong berkata, keputusan itu dibuat selepas situasi banjir kali ini dilihat lebih serius berbanding kejadian sebelum ini.
“Semalam, Perdana Menteri sendiri mengarahkan supaya bantuan ini disegerakan.
“Walaupun kita sedang sibuk persiapan Sidang Kemuncak ASEAN, (tetapi) keadaan di sini lebih mendesak, jadi saya datang untuk maklumkan komitmen kerajaan,” katanya dalam sidang media di ADTEC Taiping, malam ini
Menurutnya, peruntukan itu akan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, membabitkan kerja mendalamkan sungai, melebarkan aliran dan membina sistem pelepasan air banjir.
Beliau berkata, tumpuan diberikan di beberapa kawasan yang sering terjejas termasuk kawasan Simpang yang dilihat paling serius.
Neow berkata, ini bukan banjir biasa, tetapi jumlah hujan luar jangka kerana mengikut laporan hujan selama tujuh jam melebihi paras purata sebulan, dipercayai kesan perubahan iklim.
Selain itu, sebanyak 400 pek makanan turut diagihkan kepada mangsa, hasil sumbangan pihak swasta.
© New Straits Times Press (M) Bhd



