Terlalu awal spekulasi Wan Ahmad Fayhsal sertai PAS – Mohd Amar

Terlalu awal spekulasi Wan Ahmad Fayhsal sertai PAS – Mohd Amar

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu : PAS menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengaitkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu menyertai parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Wan Ahmad Fayhsal masih ahli BERSATU, cuma digantung untuk tempoh tertentu sahaja.

“Dia (Wan Ahmad Fayhsal) masih ahli BERSATU dan hanya digantung, bagi saya tidak berbangkit apa-apa isu.

“Masih terlalu awal untuk buat spekulasi berkaitan mahu sertai PAS, beliau pun tiada maklum apa-apa kepada kita.

“Kita juga berharap BERSATU dan Wan Ahmad Fayhsal dapat menyelesaikan masalah dalaman parti itu untuk kebaikan semua pihak. Kita tidak mencampuri masalah parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ceramah Perdana Sempena PAS 70 Tahun di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan beliau akan tetap setia dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) walaupun dikenakan tindakan iaitu digantung keahlian oleh BERSATU selama satu penggal.

Beliau turut memaklumkan tidak sesekali mengkhianati pengundi di Parlimen Machang dengan menyertai parti lain.

Susulan kenyataan itu, ramai pihak beranggapan Ahli Parlimen Machang itu mahu menyertai PAS selepas digantung keahlian oleh BERSATU.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top