Rom: Selama enam tahun, Alessandro Covi menjadi antara watak penting yang jarang disebut namun sentiasa menjadi tulang belakang dalam empayar kejayaan besar UAE Team Emirates – XRG pelumba yang namanya jarang menghiasi tajuk utama, tetapi jasanya terukir dalam era paling dominan pasukan itu.
Kini, ketika pelumba berusia 27 tahun dari Itali itu menutup satu bab dan membuka lembaran baharu bersama Team Jayco AlUla, dia kembali mengenang perjalanan kariernya, persahabatan yang terjalin Tadej Pogacar yang menurutnya, “menceritakan segalanya tentang siapa dia sebenarnya.”
Dalam temu bual eksklusif bersama Bici.Pro, Covi mendedahkan Pogacar pernah mengejutkan seluruh pasukan apabila secara sukarela menjadi pelumba penarik untuknya pada peringkat terakhir Vuelta a Andalucia 2023, meskipun sudah meraih tiga kemenangan peringkat pada minggu sama.
“Ketika mesyuarat dalam bas, Tadej tiba-tiba berkata, ‘Hari ini kita pecut untuk Puma,'” cerita Covi, merujuk kepada nama gelarannya.
“Dalam penamat, dia dan Tim Wellens membentuk ‘kereta api’ penarik untuk saya. Saya tamat di tempat kedua di belakang Fraile tapi itu adalah kemenangan terakhir dalam kariernya. Sampai sekarang, saya masih usik Tadej tentang hal itu.”
Perlumbaan terakhir Covi bersama UAE Team Emirates berlangsung di Veneto Classic 2025, dan selepas itu dia mengakui sempat mengambil masa untuk merenung kembali segala kenangan malah tidak menafikan dia berasa sebak.
“Saya menikmati setiap perlumbaan sepanjang enam minggu terakhir.
“Setiap hari ada seseorang yang perlu saya ucap selamat tinggal rakan sepasukan atau staf yang mungkin tidak akan saya jumpa lagi.
“Perlumbaan tetap sama, kami akan bertemu lagi di peloton, tapi sesuatu yang sangat indah sebenarnya sudah berakhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




