ASEAN sokong usaha tamatkan konflik Gaza, kedaulatan negara Palestin

ASEAN sokong usaha tamatkan konflik Gaza, kedaulatan negara Palestin

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: ASEAN berharap Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akhirnya akan membawa kebebasan kepada rakyat Palestin dan penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sejak dua tahun lalu, dunia menyaksikan penderitaan tidak terhingga yang dialami rakyat Palestin di Gaza, dengan kehilangan nyawa yang begitu besar, perpindahan besar-besaran dan penghakisan harapan serta maruah secara sistematik.

“ASEAN menyambut baik usaha untuk menghentikan keganasan di Gaza, sebagai fasa pertama dalam pelan ini.

“Perkembangan ini menandakan satu langkah penting ke hadapan dan kami berharap ia akhirnya akan menegakkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini, hari ini.

September lalu, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Pelan itu, termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin tanpa kaitan politik untuk mentadbir wilayah itu.

Israel dan Hamas menandatangani fasa pertama perjanjian itu pada 8 Oktober lalu, yang membenarkan pembebasan semua tebusan Israel dan sejumlah tahanan Palestin.

Malaysia, sebelum ini menyifatkan pelan itu sebagai langkah penting ke arah menamatkan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza serta berharap ia dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top