mohdsyazwan@hmetro.com.my
Subang Jaya: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menjelaskan baginda dimaklumkan bahawa aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai tujuh pemain warisan Harimau Malaya bukan dibuat oleh Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) seperti yang didakwa sebelum ini.
Menurut TMJ, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kepadanya, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai pihak sebenar yang membuat laporan berkenaan.
“Saya diberitahu oleh AFC. Selepas kita menang melawan Vietnam, ada satu aduan dibuat, namun saya tidak tahu daripada siapa.
“Apabila saya bertanya kepada AFC, mereka beritahu aduan itu tidak datang dari Vietnam FA (VFF). Ia daripada seseorang di Vietnam, tetapi bukan dari pihak FA,” titah baginda pada sidang media khas, sebentar tadi.
Tunku Mahkota Johor berkata, baginda turut dimaklumkan bahawa aduan itu bukan daripada Presiden atau Setiausaha Agung VFF, sekali gus menjadikan situasi itu agak pelik kerana laporan bukan disalurkan secara rasmi oleh badan bola sepak negara berkenaan.
“Jadi bagi saya ia agak aneh. Ada banyak rungutan di luar sana daripada sesiapa sahaja. Sejujurnya agak lucu kerana bukan presiden Vietnam atau Setiausaha Agung mereka yang buat aduan itu,” titah baginda lagi.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa aduan kepada FIFA pada 11 Jun lalu menjadi titik permulaan siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Perkara itu dinyatakan dalam laporan rasmi FIFA bertajuk ‘Notification of the Grounds of the Decision’ bertarikh 6 Oktober 2025, yang memperincikan keputusan menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit.
Antara pemain yang disenaraikan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.
Berdasarkan laporan itu, FIFA menerima aduan berkenaan pada 11 Jun, iaitu sehari selepas Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan besar itu bagaimanapun menjadi detik awal kepada siasatan FIFA, yang kini terus mencetus perhatian peminat bola sepak tanah air berhubung isu kelayakan pemain warisan Harimau Malaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




