Dendam lama, tularkan video aib anak dipercayai punca kejadian tetak di Tumpat

Dendam lama, tularkan video aib anak dipercayai punca kejadian tetak di Tumpat

am@hmetro.com.my

Tumpat: Dendam lama akibat isu tanah pusaka dipercayai punca kejadian pemandu jengkaut ditetak hingga maut di Kampung Kok Bedullah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, suspek juga berang kerana mendakwa mangsa menyunting video anaknya dalam keadaan tidak senonoh dan menularkannya.

Sejurus itu, suspek ke rumah mangsa, Mohd Suhairi Hashim, 46, yang juga sepupu kepada isterinya yang ketika itu sedang membersihkan jengkaut di luar rumah.

Katanya, suspek kemudian menyerang dengan sebilah parang panjang menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala serta putus lengan kiri.

“Motif pembunuhan dipercayai berpunca dari dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video viral anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan yang serius pada bahagian kepala, kaki sebelah kanan dan tangan kiri terputus.

“Suspek berusia 45 tahun ditahan di rumahnya bersama sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairi berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top