Tindakan undang-undang terhadap Israel sama seperti menentang dasar apartheid – Presiden Afrika Selatan

Tindakan undang-undang terhadap Israel sama seperti menentang dasar apartheid – Presiden Afrika Selatan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Keputusan Afrika Selatan, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel berhubung konflik di Gaza berasaskan keyakinan moral seperti dilaluinya ketika menentang dasar apartheid.

Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, berkata situasi yang menimpa Gaza ibarat satu bentuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di depan mata dunia.

“Apabila kami melihat pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza, kami merasakan adalah wajar untuk bertindak sebagaimana dunia pernah bertindak menentang apartheid,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia di sini, hari ini.

Ramaphosa berkata, tindakan undang-undang itu perlu diambil walaupun berisiko tinggi dan menerima banyak tentangan.

“Kami menghargai sokongan anda terhadap tindakan berani itu.

“Kami akan terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

“Ia sebagaimana dunia suatu ketika dahulu memperjuangkan keadilan untuk rakyat Afrika Selatan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan dasar apartheid sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

“Kami juga menghargai Malaysia sebagai antara negara yang pernah menentang dasar apartheid dan kini turut bersama menentang kekejaman yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Sementara itu, Ramaphosa menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Afrika Selatan tahun depan, yang disifatkannya sebagai peluang untuk memperkukuh lagi persahabatan dan kerjasama lama antara kedua-dua negara.

Katanya, jemputan itu dibuat susulan lawatan Anwar ke Johannesburg bulan depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20, yang digambarkannya sebagai ‘pemanas badan’ sebelum lawatan rasmi berlangsung.

“Kami amat berbesar hati untuk menyambut anda ke negara paling indah di dunia, iaitu Afrika Selatan.

“Tetapi selepas datang ke Malaysia buat kali pertama, saya akui Afrika Selatan kini ada saingan, Malaysia juga sangat indah,” katanya.

Ramaphosa berkata, pertemuannya dengan Anwar menjadi langkah penting ke arah memperbaharui dan memperkukuh hubungan dua hala, termasuk memperluas peluang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami mengesahkan semula bahawa peluang perdagangan dan pelaburan perlu diperluas antara dua negara, khususnya dalam tempoh penuh ketegangan dan cabaran geopolitik ketika ini, apabila perdagangan turut dijadikan sebagai senjata,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan, khususnya antara Kesatuan Afrika (AU), Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan ASEAN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top