Tatkala kita dikejutkan dengan pelbagai masalah sosial, disiplin dan jenayah membabitkan pelajar sekolah, jangan kita lupakan beberapa perkembangan positif yang berlaku dan bakal mewarnai sistem pendidikan negara.
Sementara kita menantikan inisiatif pembangunan karakter murid serta usaha menangani masalah sosial mula berkesan, beberapa pengumuman kerajaan yang menzahirkan iltizam untuk memartabatkan sistem pendidikan negara diyakini mampu mencetuskan sinar harapan yang besar.
Antara inisiatif penting kerajaan yang perlu diberi perhatian wajar adalah kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 yang menjadikan pendidikan menengah di negara ini wajib untuk warganegara Malaysia.
Ini untuk memastikan tiada yang tercicir daripada segi hak untuk mendapatkan pendidikan. Justeru ibu bapa perlu menerima penggubalan dasar ini sebagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada masa depan anak-anak, sekali gus menyokong penuh pelaksanaannya kelak.
Secara prinsipnya, penguatkuasaan dasar ini penting untuk meningkatkan kapasiti pembangunan modal insan masa depan negara, mengurangkan keciciran pelajar, dan memastikan semua pelajar memperoleh kelayakan minimum seperti SPM. Ia menjunjung hasrat menyediakan masa depan yang terbaik kepada generasi masa depan agar mampu berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Iltizam kerajaan untuk memartabatkan sistem pendidikan negara dan menyediakan akses lebih baik kepada rakyat diterjemahkan lagi ketika pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan insentif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak keluarga miskin, berpendapatan RM2,705 dan ke bawah yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) bermula tahun hadapan.
Kerajaan menyediakan RM120 juta setahun untuk melaksanakan insentif itu. Ironinya pendidikan percuma melalui PTPTN ini membuktikan kerajaan memiliki tekad dan tanggungjawab politik yang kuat bagi menunaikan janji kepada golongan yang memerlukan bantuan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Walaupun selama ini kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan kemudahan pendidikan kepada belia dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian namun setiap tahun di musim kemasukan ke universiti masih kedengaran keluh kesah ibu bapa yang berhadapan dengan masalah kewangan untuk membiayai pendidikan anak.
Misalnya, Program Sulung di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah inisiatif untuk memberi peluang dan pembiayaan pendidikan kepada generasi pertama daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang tiada ahli keluarga sebelum ini melanjutkan pengajian ke menara gading.
Program ini bertujuan membantu mahasiswa B40 melalui pembiayaan yuran, biasiswa, dan bantuan lain seperti kos penginapan dan internet, serta menawarkan sesi mentoring untuk membantu mereka berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Selain itu, setiap universiti juga menghulurkan pelbagai bantuan kebajikan termasuk melalui pusat zakat bagi menampung keperluan kurang berkemampuan.
Justeru inisiatif pendidikan percuma PTPTN ini boleh menjadi platform tambahan yang mencetuskan harapan kepada anak-anak cemerlang daripada keluarga kurang berkemampuan untuk menggapai cita-cita ke menara gading, sekali gus membela nasib diri dan keluarga.
Jujurnya, tiada alasan lagi untuk ibu bapa menyekat hasrat anak masuk ke universiti atas sebab masalah kewangan, sebaliknya jadikan inisiatif kerajaan ini sebagai suntikan motivasi bagi keluar daripada kepompong kemiskinan.
Jadi, ibu bapa B40 perlu menyedari kepentingan aspek pendidikan sekali gus merebut peluang ini dan memastikan anak mereka dapat menjejak kaki ke menara gading. Kita tidak mahu anak-anak B40 terus tercicir atau memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyambung pengajian.
Dalam hal ini, kita perlu mewujudkan kesedaran kepentingan pendidikan kepada ibu bapa golongan B40 dan masyarakat luar bandar. Peranan ini boleh dipikul oleh guru dan pemimpin masyarakat yang akrab dengan ibu bapa.
Selain itu, komitmen kerajaan untuk meningkatkan lantai kualiti kehidupan rakyat melalui pendidikan juga terserlah apabila mengumumkan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada mahasiswa yang peroleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.
Harus diingat peminjam PTPTN selama ini bergelut untuk membayar balik pinjaman dek pendapatan yang tidak mencukupi dan peningkatan kos sara hidup yang drastik.
Jadi, pengumuman ini pastinya melegakan dan membolehkan mereka fokus untuk meningkatkan kualiti kehidupan tanpa hutang pendidikan. Malah, ini juga bakal menyuntik semangat pelajar untuk memperoleh keputusan akademik yang cemerlang sekali gus membuka laluan kerjaya yang lebih baik setelah bergraduat.
Tuntasnya, inisiatif pendidikan percuma PTPTN termasuk pengecualian bayaran balik pinjaman memperluaskan akses pendidikan dan mobiliti sosial belia daripada keluarga kurang berkemampuan.
Kesungguhan kerajaan ini dibuktikan dalam Belanjawan 2026 melalui peruntukan RM18.6 bilion kepada KPT, iaitu peningkatan 2.76 peratus manakala Kementerian Pendidikan akan menerima RM66.2 bilion tahun hadapan, meningkat daripada RM64.2 bilion tahun ini.
Diharap agar pelbagai langkah drastik ini, termasuk melalui saluran peruntukan yang signifikan, kita dapat menangani masalah sosial yang sedang berlaku sekali gus mencetuskan sinar baharu dalam sistem pendidikan agar melahirkan generasi Madani berilmu dan berakhlak.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM)




