am@hmetro.com.my
Seremban: “Kami sudah buat segala yang kami mampu. Saya reda kerana yakin Aya berada di tempat yang lebih indah, lebih baik dan tidak perlu tahan sakit lagi,” luah Nurul Nadiah Zakaria, 33, ibu kepada Aya Sofya Moehamad Izzat Emir, 4.
Anak bongsu daripada dua beradik yang menghidap kanser saraf (neuroblastoma) itu meninggal dunia di Hospital Taixin di China, ketika menerima rawatan pada malam 17 Oktober lalu.
Jenazah Aya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale, di sini, jam 2 pagi tadi.
Nurul Nadiah berkata, ketika Aya koma di unit rawatan rapi (ICU) akibat komplikasi pendarahan dalam otak, pihak hospital sudah memaklumkan keadaannya seolah sudah tiada harapan.
“Sepatutnya Aya menerima rawatan CAR-T Cell di sana. Sebelum itu, dia perlu jalani sekurang-kurangnya enam ‘cycle’ (pusingan) kemoterapi, namun dia sempat jalani kemoterapi pertama sahaja.
“Selepas kemoterapi pertama, dia menunjukkan tanda positif dan makin stabil. Tiba-tiba dia mengadu sakit kepala dan mengalami sawan sebelum dimasukkan ke hospital awam di sana,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, kepala Aya terpaksa ditebuk untuk membuang air dalam otak, namun tidak lama selepas itu berlaku pendarahan dalam otak.
“Aya berada di ICU selama lapan hari sebelum kami minta untuk pindahkan ke Hospital Taixin semula kerana mahu bersamanya.
“Masa itu kami memang sudah bersedia dan reda. Aya sudah berjuang dan alami pelbagai dugaan dan kami sendiri sudah buat yang terbaik, tetapi itu semua kuasa Allah.
“Jadi lebih baik dia pergi ke tempat yang lebih baik. Sebagai ibu, saya doakan yang baik-baik untuk Aya ‘di sana’, saya yakin syurga tempatnya, insya-Allah,” katanya.
Jelasnya lagi, dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menitipkan doa serta memberi sumbangan bagi rawatan Aya walaupun saling tidak mengenali.
“Di sebalik usaha kami membawa Aya ke China untuk menerima rawatan dan berjaya membawa pulang jenazahnya, kami amat berterima kasih kepada ahli keluarga, rakan, individu persendirian dan Persatuan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCAM).
“Terima kasih juga kepada Media Prima, Harian Metro yang membantu dan tidak lupa kepada Konsulat Jeneral Malaysia Guangzhou serta semua yang terbabit,” katanya.
Dalam masa sama Nurul Nadiah berharap supaya lebih banyak kajian mengenai kanser itu dibuat di negara ini terutama dari segi rawatan kepada pesakit dengan menjadikan kisah anaknya sebagai rujukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




