norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta, 52, bakal menerima menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, dikatakan mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihan hati di sebuah lokasi, semalam.
Majlis pertunangan secara tertutup dan meriah dengan dihadiri keluarga terdekat itu dikongsikan Che Ta apabila memuat naik beberapa foto dan video sekitar acara berkenaan di Instagram Story (IGs) miliknya.
Menerusi hantaran foto di IGs itu, Che Ta dan Ammar menerima ucapan tahniah daripada tetamu dan difahamkan pihak keluarga pelakon Kiah Pekasam itu menghantar sebanyak 10 dulang.
Malah, Che Ta juga membuat hantaran semula (repost) dengan ucapan indah yang mendoakan agar ikatan pertunangan anaknya diberkati Allah sehingga melangkah ke fasa perkahwinan diimpikan.
“Alhamdulillah, tahniah atas pertunangan ini. Semoga ikatan yang terbina diberkati Allah, dipermudahkan segala urusan menuju ke arah perkahwinan dan kekal bahagia hingga ke syurga.
“Semoga cinta yang halal sentiasa mekar dengan kasih, hormat dan doa yang ikhlas antara satu sama lain,” ucap Che Ta berserta emoji cincin dan ucapan tahniah kepada Ammar Effendy.
Meskipun tiada butiran terperinci berkenaan majlis itu dikongsikan, namun Che Ta tampil anggun mengenakan busana berona kuning keemasan hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.
Difahamkan, warna itu menjadi tema Che Ta sekeluarga apabila suaminya, Zain Saidin serta anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rania, 11, juga mengenakan persalinan sedondon termasuk adik-beradik Che Ta yang hadir.
Turut meraikan majlis pertunangan itu adalah bekas suami Che Ta iaitu Azuar Effendy Zulkaply serta Ammar juga didapati tampil segak berbaju Melayu merah jambu lembut, sepadan dengan busana tunangnya.
Ibu tiga cahaya mata ini banyak berkongsi momen indah bersama Ammar, namun dia memilih untuk merahsiakan identiti bakal menantunya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




