norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah filem Banduan, Kroll Azry serik untuk menggunakan lori sebagai props ketika menghasilkan filem kerana sukar dikawal walaupun dilihat mudah untuk dikendalikan.
Menurut Kroll, dia berhadapan cabaran besar ketika penggambaran filem itu apabila lori digunakan sering ‘mogok’ mulai jam 2 pagi.
“Saya alami banyak masalah dengan lori. Kalau boleh tak nak lagi ‘shoot’ dengan lori. Biarlah bot laju ke, helikopter ke, lori itu nampak sahaja mudah, tapi kita nak kawal susah.
“Kita shooting babak aksi sekali jalan, takkan nak undur lori, jauh nak kena pusing lalu saya minta Datuk Aaron Aziz yang mengendalikannya,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Katanya, dia menyedari berlaku beberapa kejadian pada lori terbabit selepas tengah malam yang disifatkannya sangat pelik dan keadaan itu berlaku setiap hari penggambaran.
“Lori ini akan mati enjin setiap jam 2 pagi. Kita pula ‘shoot’ cerita (Banduan) ini sepanjang malam bermula 8 malam, tapi setiap jam 2 pagi sahaja lori mesti tak boleh start. Saya dah bercakap dengan lori, “tolong sayang, saya nak ‘shoot’, “please wake up baby”.
“Tapi, memang pelik. Kawasan shooting kita juga tidak menolong, kebun kelapa sawit. Kita pun kebanyakannya ‘shoot’ di Klang dan Pulau Carey, Selangor,” katanya.
Menurut Kroll, dia turut membawa mekanik pelbagai kaum India, Cina dan Melayu ke lokasi penggambaran untuk memeriksa kerosakan lori itu bagi membaikinya, tetapi semuanya tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya bawa ustaz dan macam-macam. Sembahyang juga di lokasi dan kadang-kadang keadaan sama (lori tak boleh start) terjadi juga. Akhirnya saya beralah dan banyak babak saya nak buat tak boleh.
“Lori itu pun kadang-kadang dua hari tak boleh start. Saya jam 5 atau 6 pagi sudah kena selesaikan. Kalau boleh saya sebenarnya nak kami semua bekerja 12 jam sahaja, tapi ada gangguan.
“Selepas lori, kita ‘shoot’ guna van juga tetap mengalami perkara sama (tak boleh start) setiap jam 2 pagi. Memang misterilah jam 2 pagi,” katanya.
Penggambaran filem Banduan yang diadaptasi daripada filem Tamil popular, Khaiti itu dilakukan Kroll pada April lalu selama 47 hari.
Diterbitkan Number Twenty One Media, Banduan dibarisi pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Rosyam Nor, Fadhli Masoot dan ramai lagi bakal ditayangkan pawagam pada 6 November depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



