am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana memaklumkan tidak tersinggung apabila penyertaannya dalam misi kemanusiaan Sumud Global Flotilla (GSF) dipersoal kerana turut disertai lelaki bukan mahram.
Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata dia juga tidak tahu-menahu mengenai isu yang ditimbulkan pihak terbabit.
Menurutnya, setiap misi kemanusiaan perlu disertai oleh peserta wanita kerana mereka mempunyai tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sama seperti peserta lelaki.
“Setiap misi kemanusiaan mesti ada lelaki dan wanita. Tujuan kami sebagai peserta wanita adalah mewakili golongan wanita Malaysia untuk bertemu dan menyantuni saudara-saudara wanita kita di Gaza.
“Kalau ada pihak yang mempertikaikan soal mahram, saya rasa cukup saya minta izin daripada suami dan keluarga,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, kata isteri pelakon Yusuf Bahrin, 33, penyertaan kaum wanita dalam misi kemanusiaan seumpama itu juga sudah dijelaskan oleh pihak mufti dan jabatan agama.
Pada masa sama, kata Zizi, dia juga tidak mengetahui soal kritikan yang ditimbulkan kerana sudah tidak aktif di media sosial selepas pulang daripada misi GSF berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




