Hukuman semata bukan strategi terbaik kurangkan penyakit NCD – Dzulkefly

Hukuman semata bukan strategi terbaik kurangkan penyakit NCD – Dzulkefly

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Strategi berorientasikan hukuman semata-mata tidak akan berhasil untuk mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang terus melonjak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini giat melaksanakan pelbagai kempen termasuk ‘Perang Terhadap Gula’ dan ‘Perangi Merokok’, namun ia tidak mencukupi selagi tidak berlaku perubahan tingkah laku dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu melihat perlu ada transformasi dengan tumpuan kepada aspek ‘tingkah laku’ bagi memastikan keberkesanan intervensi kesihatan awam di seluruh negara.

“KKM kini memberi tumpuan untuk memastikan rakyat lebih celik dan sedar mengenai kepentingan kesihatan melalui penyampaian maklumat yang tepat dan mudah difahami.

“Apabila tahap kesedaran meningkat, pendekatan seterusnya ialah menggunakan

kaedah ‘behavioural insight‘ bagi membantu masyarakat mengubah tingkah laku ke arah amalan gaya hidup sihat secara berkesan dan berterusan,” katanya katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu inisiatif KKM dalam mengurangkan beban lonjakan NCD seperti diabetes, hipertensi dan obesiti.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang menyifatkan pelbagai kempen dan inisiatif dilaksanakan KKM bagi mengatasi lonjakan NCD masih belum berjaya.

“Pada saya perubahan tingkah laku (dalam kalangan rakyat) masih sangat rumit (untuk diatasi).

“Manusia ini dia tahu apa yang ideal dan terbaik untuk dirinya, tetapi kenapa dia tak lakukan? Ini mungkin kerana pertama kekangan kewangan, kebolehcapaian kepada hal yang paling baik dan barangkali (kekangan) waktu.

“Strategi ini juga bukan saja perlu melalui hukuman kompaun dan sebagainya, tapi kita mahu rakyat mesti celik dahulu, ini yang sedang jadi cabaran kepada kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top