rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya pernah lepaskan peluang menyambung pengajian dua tahun lalu akibat masalah kewangan. Saya bersyukur peluang itu datang sekali lagi,” kata Hayatun Nur Adni Azmi yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu Dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Kisah ketabahan anak yatim piatu berusia 20 tahun ini yang berhasrat untuk menimba ilmu di menara gading mendapat perhatian warganet susulan perkongsian pengguna TikTok.
Perkongsian itu memberi sinar buat Hayatun apabila ramai tampil untuk membantu.
Menurut Hayatun, dia dan adik lelakinya tinggal bersama ibu saudara sejak kecil selepas kematian ibu bapanya.
“Arwah umi meninggal dunia ketika saya masih berusia dua tahun manakala arwah bapa pula semasa usia tujuh tahun. Sejak kematian bapa, memang kami dua beradik dijaga ibu saudara.
“Ibu saudara yang membesarkan dan menyara kami dengan dibantu seorang bapa saudara iaitu adik arwah bapa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Hayatun berkata, ibu dan bapa saudara sentiasa mendorongnya untuk belajar walaupun hidup susah sehingga dia berjaya menamatkan persekolahan serta mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Selepas SPM, saya ada terima tawaran menyambung pengajian dalam bidang pelancongan di sebuah institut pengajian tinggi, tapi saya tidak dapat pergi kerana masalah kewangan dan bapa saudara pula dimasukkan ke hospital.
“Saya anggap ia bukan rezeki. Saya teruskan pula pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam jurusan sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, Kota Bharu,” katanya.
Meskipun dihimpit kesusahan hidup, Hayatun dan adik lelakinya tidak menjadikan halangan untuk mereka belajar dengan baik demi mengubah masa depan keluarga.
Buktinya apabila Hayatun berjaya melanjutkan pengajian menerusi panggilan kedua di UPM pada Jumaat ini, manakala adiknya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Saya gembira apabila dapat tawaran belajar di universiti. Memang itu impian saya sejak keci,l cuma tak mampu dari segi kewangan.
“Tapi tak sangka pula (kesusahan hidup) jadi tular. Ada yang tampil membantu dan menyumbang, Alhamdulillah wang untuk yuran pendaftaran sudah cukup,” katanya.
Menurutnya, antara turut membantunya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Malah, nenek saudara yang menetap di Kuala Lumpur juga sanggup pulang ke kampung untuk mengambil dan menghantarnya ke UPM nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




