Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ditutup, Malaysia serah Kepengerusian kepada Filipina

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ditutup, Malaysia serah Kepengerusian kepada Filipina

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia secara rasminya menyerahkan tugas Pengerusi ASEAN kepada Filipina tepat jam 4.18 petang hari ini, sekali gus sekali gus menandakan penutupan penganjuran Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan tahun ini.

Acara penyerahan dimulakan dengan iringan muzik tradisional yang dimainkan oleh artis tempatan, sebelum sejumlah 32 pelajar dari Sekolah Antarabangsa Cempaka menyanyikan lagu ASEAN.

Majlis penyerahan itu adalah acara simbolik penutupan Sidang ASEAN ke-47 yang dipengerusikan Malaysia dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Seramai 11 wakil anggota ASEAN terdiri daripada pemimpin tertinggi dan menteri kanan menyaksikan acara berkenaan.

Turut hadir dan menyaksikan acara bersejarah itu adalah tetamu jemputan Malaysia dan antarabangsa, termasuk pihak media.

Sepanjang hampir 60 tahun ASEAN ditubuhkan, Malaysia sudah lima kali mengalas tanggungjawab dan sudi mempengerusikan sidang kemuncak ASEAN iaitu bermula pada 1977, 1997, 2005, 2015 dan 2025 menjadi tahun kelimanya.

Pada 1987 Filipina kali pertama menjadi pengerusipersidangan ASEAN, kemudian pada 1999, 2007, dan kali empat pada 2017.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pemimpin serta rakyat Malaysia atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dengan penuh makna dan kejelasan hala tuju rantau.

“Inilah jalan ASEAN jika kita mahu terus bertahan, kita berasa puas melihat perbincangan yang berlangsung antara rakan dan kuasa di luar dinding dewan ini.

“Kita menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan misi ASEAN masih berkesan apabila dipandu oleh kesabaran dan kebijaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, dalam ucapannya memuji kejayaan Malaysia memimpin ASEAN dengan kejelasan dan keyakinan.

“Saya memuji bukan sahaja kepimpinan yang amat berhormat, tetapi juga keteguhan serta layanan mesra daripada Kerajaan Malaysia.

“Anda menunjukkan ASEAN mencapai kemajuan paling besar apabila visi disertai dengan keprihatinan yang praktikal,” katanya.

Beliau berkata, Filipina berbesar hati untuk mengambil tanggungjawab memimpin ASEAN bermula tahun 2026.

“Kami komited untuk meneruskan momentum yang sudah dibina dan melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2045 dengan penuh tekad.

“Kami juga kekal beriltizam memudahkan pengintegrasian Timor-Leste secara menyeluruh dalam keluarga ASEAN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top