Mila Jirin, KPDRM bantu anggota polis kahwin tanpa tekanan kewangan

Mila Jirin, KPDRM bantu anggota polis kahwin tanpa tekanan kewangan

Shah Alam : Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin, 38, meluahkan hasrat membantu meraikan perkahwinan anggota polis tanpa beban tekanan kewangan.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmila Jirin, 38, memaklumkan perkara itu selepas mendengar kisah menyayat hati mengenai anggota beruniform berkenaan yang terpaksa menangguhkan majlis hari bahagia mereka kerana kekangan bajet.

Menurut Mila, ramai pasangan muda dalam kalangan anggota terbabit berdepan dengan dilema antara mahu majlis yang indah atau mengikut kemampuan bajet sebenar.

Justeru ia memberi idea buat Mila mengambil inisiatif menawarkan pakej perkahwinan mampu milik di bawah syarikatnya iaitu Bizmilla menerusi skim pembiayaan dari Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

“Ini bukan strategi komersial semata-mata sebaliknya misi sosial bagi membantu mereka yang banyak berkorban demi keselamatan negara.

“Ramai yang saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan sebab kekangan bajet. Jadi saya mahu Bizmilla jadi sebahagian daripada penyelesaian itu supaya mereka tetap boleh capai majlis impian tanpa stres kewangan.

“Kami mahu setiap pasangan ini menikmati majlis bertaraf hotel 5 bintang dalam bajet mampu milik. Ia direka khas untuk meringankan beban pasangan muda agar mereka boleh fokus pada makna sebenar perkahwinan, bukan stres tentang kos,” katanya.

Bizmilla Wedding Centre dan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) baru-baru ini melancarkan jalinan kolaborasi bersama di Bizmilla Grand Palace Ballroom, Subang Jaya.

Dengan kerjasam ini, anggota KPDRM boleh menikmati pakej perkahwinan eksklusif Bizmilla dengan kemudahan pembayaran melalui potongan koperasi secara bulanan bermula dari RM163.20 sebulan yang merangkumi dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin serta fotografi dan videografi.

Dalam pada itu tambah Mila, memilih KPDRM sebagai rakan strategik juga adalah kerana nilai kepercayaan dan integriti yang menjadi asas kepada koperasi itu, selain menghargai pengorbanan anggota polis yang berkhidmat untuk negara.

“Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang dinaungi ribuan anggota polis, kami tahu kolaborasi ini bukan sekadar urusan perniagaan, tapi tanda penghargaan.

“Proses membina sistem pembiayaan itu juga melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap transaksi dibuat secara telus, profesional dan patuh syariah.

“Kami mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri,” kata Mila yang mengasaskan Bizmilla Wedding Centre bersama suaminya iaitu Ahmad Ailis Mohamed Mustapha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top