harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketegasan Kementerian Pengangkutan Jalan dalam isu muatan berlebihan disifatkan langkah yang tepat pada masanya dalam usaha memerangi ‘pembunuhan’ di jalan raya.
Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid bagaimanapun berkata, ketegasan itu wajar dikenakan ke atas semua pengguna jalan raya, bukan setakat pemandu kenderaan berat.
“Sikap tegas terutama ke atas kapitalis lori yang degil sebegini memberikan rasa yakin rakyat demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh pengguna jalan raya.
“Namun ketegasan bukan hanya kepada pengusaha lori sahaja tetapi kepada semua pengguna jalan raya yang lainnya tidak mengira apa jua kenderaan mereka.
“Sikap degil pengguna jalan raya yang tidak mahu ikut peraturan amat berisiko menjadi ‘pembunuh’ di atas jalan raya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Terdahulu media melaporkan pendedahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung pemain industri cuba berunding dengan pihaknya, rentetan tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan.
Anthony dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan sesekali ‘melayan’ kerenah segelintir pemain industri yang cuba berunding semata-mata mahu ‘menghalalkan’ apa yang mereka lakukan.
Mengulas lanjut Mastina berkata, pendekatan tegas Menteri Pengangkutan itu akan memberikan impak besar dalam perjuangan memerangi ‘pembunuhan’ di atas jalan raya.
“Ribuan ‘pembunuhan’ di atas jalan raya ini berlaku bertahun-tahun lamanya dan perlu dihentikan segera kerana ia membawa lebih banyak keburukan dan malapetaka kepada keluarga, majikan dan negara.
“Tindakan tegas Menteri MOT tepat dan kena pada tempatnya, sikap tegas beliau semestinya memberikan impak besar demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




