Milan: Hakan Calhanoglu muncul wira selepas meledak dua gol bagi membantu Inter Milan meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Fiorentina dalam aksi Serie A di San Siro, awal pagi tadi, sekali gus memastikan mereka terus memburu dua pendahulu liga, Napoli dan AS Roma.
Kemenangan itu menyaksikan Inter kekal di tangga ketiga dengan hanya tiga mata di belakang dua pasukan teratas yang masing-masing mengumpul 21 mata, manakala Fiorentina terus terperosok di tangga ke-19 dengan hanya empat mata, masih tanpa sebarang kemenangan musim ini.
Tekanan terhadap jurulatih Stefano Pioli kini semakin meningkat selepas deretan keputusan mengecewakan.
Inter mendominasi permainan namun beberapa percubaan awal berjaya dinafikan penjaga gol Fiorentina, David de Gea, yang tampil cemerlang sepanjang sejam pertama.
Namun, benteng pasukan pelawat akhirnya roboh pada minit ke-66 apabila Calhanoglu melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan De Gea di penjuru bawah gawang.
Lima minit kemudian, Petar Sucic menambah jaringan kedua selepas memperdaya pertahanan lawan di dalam kotak penalti sebelum menolak bola mudah ke gawang.
Nasib Fiorentina bertambah malang apabila Mattia Viti dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-86 selepas menjatuhkan Ange Yoan Bonny dalam kawasan penalti, dan Calhanoglu tenang menyempurnakan sepakan itu untuk melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 buat Inter.
© New Straits Times Press (M) Bhd




