am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, mengenai tindakan pelajar junior yang memantau pergerakan Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-27 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina itu menyatakan pemantauan itu dibuat ketika beberapa rakan sebiliknya mahu memeriksa barangan arwah.
Peguam mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, berkata saksi turut memberitahu mahkamah mengenai arwah yang dipulaukan rakan-rakannya pada petang hari yang sama.
“Pada petang 15 Julai, saksi mengatakan yang Zara dipulau dan tidak dilayan oleh kawan-kawannya.
“Pada malam 15 Julai itu pula beberapa rakan sebilik Zara sedang membuat persiapan untuk melakukan ‘spot check’ terhadap barang-barang Zara.
“Ada pelajar junior yang menjaga pintu untuk memantau pergerakan Zara. Pada malam itu, seorang pelajar junior memberitahu setiap bilik di aras tiga dia kehilangan kad bank.
“Pelajar itu memberitahu saksi bahawa dia mengesyaki Zara yang mengambil kad banknya.
“Pelajar yang sama pernah mendakwa kehilangan dompet, duit dan MyKad sebelum ini, namun kemudian mengaku MyKad itu ditemui semula oleh seorang guru,” katanya selepas selesai prosiding, hari ini.
Shahlan berkata, dalam keterangannya, saksi juga mendengar kawan rapatnya mengadu mengenai kehilangan wang sebanyak RM21.
Saksi ke-36 inkues itu katanya menjelaskan, selepas arwah Zara Qairina dipanggil pelajar senior ke bilik lain, beberapa pelajar junior melakukan pemeriksaan ke atas almari, beg dan seluar Zara ketika arwah tiada di bilik.
“Saksi menyatakan beg dan almari Zara tidak berkunci pada waktu itu. Dalam ‘spot check’ itu, dua pin Jalur Gemilang kecil ditemui, seorang pelajar junior mendakwa menjumpainya di beg Zara, manakala satu pin lagi di poket seluar Zara.
“Wang tunai RM21 turut dijumpai dalam dompet Zara. Pelajar junior yang kehilangan wang mendakwa itu miliknya kerana keadaan lipatan wang itu ‘seakan sama’,” katanya.
Saksi juga katanya memberitahu mahkamah mengenai penemuan helaian kertas seperti surat di dalam beg arwah Zara dan diserahkan kepada pelajar senior untuk membacanya.
Bagaimanapun, katanya saksi tidak pasti isi penuh surat itu tetapi dia mengaku diberitahu bahawa ia berbentuk surat peribadi.
Selepas itu, katanya saksi melihat arwah Zara Qairina berlari masuk ke bilik sambil menangis dan mendengarnya menjerit ‘aku nda curi bah, sial’ sambil baring di lantai berhadapan almari.
“Saksi juga berkata arwah Zara tidak tahu beg dan almarinya diselongkar ketika ketiadaannya di bilik.
“Saksi menyatakan ia kali pertama melihat Zara dalam keadaan sebegitu dan semasa Zara menangis, saksi juga mendengar seorang pelajar junior berkata kepada semua ahli bilik, ‘semua Zara ‘batch’ kita ni ada problem’.
“Saksi kemudian tidur dan tidak mengetahui apa yang berlaku selepas itu,” katanya.
Prosiding inkues dijadual bersambung semula pada Rabu depan, 5 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




