Misi anak kampung jadi peguam jadi realiti

Misi anak kampung jadi peguam jadi realiti

surayaroslan@mediaprima.com.my

Perjalanan menjadi peguam bukan sekadar mengejar kerjaya yang berprestij, tetapi sebuah misi kehidupan untuk menjadi suara kepada mereka yang tiada ruang untuk bersuara.

Itu yang menjadi pegangan peguam, Mohd Ruzaini Zulkifli, 37, yang dilahir dan dibesarkan di kawasan pinggir bandar di Sabah.

Ibunya, Rajina Buandi, seorang jururawat masyarakat membesarkannya seorang diri.

Daripada kecil, dia sudah mengerti betapa sukar kehidupan dalam masyarakat.

“Saya sering terfikir bagaimana saya boleh keluar daripada kepompong itu, supaya saya boleh berada dalam kedudukan yang mana suara saya didengar, dan saya juga mampu menyuarakan keperluan mereka yang tidak mampu bersuara,” jelasnya.

Kenangan mengenai ibunya yang pernah gugup ketika dipanggil di mahkamah suatu ketika dahulu menjadi titik tolak kepada cita-cita besar itu.

“Ibu saya gugup di mahkamah, tidak mampu bersuara kerana terlalu gugup. Saat itu saya berjanji dalam hati, suatu hari nanti saya mahu menjadi orang yang boleh membantu mereka yang seperti ibu saya supaya mereka juga didengar dan diadili dengan sebaiknya,” katanya.

Ruzaini tidak menganggap dirinya sebagai penuntut yang menonjol, namun dia sentiasa rajin dan fokus.

Ketika di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, minggu ulang kaji digunakan sepenuhnya untuk meneliti soalan peperiksaan sebelumnya, satu amalan yang kini diterapkan dalam profesionnya.

“Sebagai peguam, saya meluangkan sebanyak masa yang mungkin untuk membuat kajian undang-undang. Kerajinan dan fokus banyak membantu saya dalam perjalanan hidup,” katanya.

Dia turut menzahirkan penghargaan kepada isteri tercinta, Nadia, serta dua anak mereka, Leia dan Liam yang menjadi kompas kehidupannya.

Sebagai lelaki, titik perubahan besar baginya berlaku ketika menjejakkan kaki ke universiti, saat dirinya mulai sedar bahawa kehidupannya kini sepenuhnya di bawah tanggungjawab sendiri.

Namun, sebagai profesional, perubahan besar hadir ketika pertama kali diamanahkan untuk mengendalikan kes sendiri tanpa bantuan peguam senior.

“Ketika itu, jatuh bangunnya kes itu terletak di bahu saya. Saya sedar, impian saya untuk menjadi suara kepada yang tidak didengari kini sedang menjadi realiti,” katanya.

Beberapa figura membentuk cara beliau berfikir dan bekerja, antaranya Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, yang mengajarnya mengenai disiplin dan cara memahami undang-undang secara menyeluruh, serta Datuk Hasnal Rezua Merican yang membuka pandangannya mengenai seni dan literasi politik.

Namun, inspirasi paling unik datang daripada seseorang yang tidak pernah ditemuinya, Prof Madya Ts Dr Ramzah Dambul, seorang penulis dan akademik Sabah.

“Tulisan-tulisan beliau mengajar saya untuk terus memperbaiki diri, berempati terhadap orang lain, dan percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya.

Dalam menghadapi dunia undang-undang yang kompetitif, prinsip yang dipegang Ruzaini sangat jelas iaitu jangan berbohong, jangan gelojoh, sentiasa bersyukur, dan sentiasa berikan yang terbaik, ketenangan hati dan nurani yang bersih jauh lebih berharga daripada kekayaan material.

Bapa dua anak itu juga menegaskan pentingnya keseimbangan antara kerja dan keluarga.

“Kerja tidak akan pernah habis. Tapi keluarga adalah sistem sokongan kita. Walau sesibuk mana pun, saya pastikan malam saya milik keluarga,” katanya.

Dalam dunia digital hari ini, cabaran terbesar bagi seorang peguam adalah media sosial.

“Sekarang peguam dinilai berdasarkan jumlah video atau kehadiran mereka di media sosial.

“Namun saya percaya platform ini boleh digunakan secara bermakna, untuk meningkatkan literasi undang-undang dan menutup jurang kefahaman masyarakat terhadap keadilan,” katanya.

Katanya, untuk kekal fokus, beliau mengamalkan rutin harian yang tersusun dan sentiasa berdisiplin, selain menjaga kesihatan mental dan fizikal melalui senaman dan komunikasi terbuka dengan orang terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top