am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor menyeru kerajaan supaya meneliti dan mempertimbangkan langkah untuk mengharamkan permainan dalam talian, ‘Roblox’ untuk golongan kanak-kanak di negara ini.
Setiausaha Amanah Negeri Johor, Mohd Idris Mohd Jiat berkata, gesaan itu dibuat susulan kebimbangan masyarakat terhadap kandungan dan interaksi dalam platform permainan berkenaan yang didakwa semakin tidak terkawal serta berpotensi membawa kepada kerosakan akhlak dan perkembangan sosial anak-anak.
“Amanah Johor berpandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas dan berani dalam menangani sebarang bentuk hiburan digital atau permainan dalam talian yang mempunyai unsur negatif seperti keganasan, penyamaran identiti, kandungan lucah atau eksploitasi kanak-kanak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan dasar perlindungan digital terhadap kanak-kanak dilaksanakan dengan serius termasuk memperkenalkan garis panduan dan sekatan umur yang jelas terhadap sebarang bentuk permainan atau platform interaktif yang boleh diakses secara terbuka.
Selain itu, katanya, Amanah Johor mendesak supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat mempertingkatkan pemantauan terhadap aktiviti jenayah siber yang membabitkan kanak-kanak serta remaja di ruang maya, termasuk kes eksploitasi, buli siber serta pendedahan terhadap kandungan tidak bermoral.
“Kanak-kanak adalah aset masa depan negara. Maka, setiap bentuk hiburan atau platform digital yang boleh menggugat akhlak, keselamatan dan perkembangan mental mereka perlu disemak serta dikawal dengan tegas dan berkesan.
“Kami menegaskan bahawa tanggungjawab membentuk generasi berakhlak dan beradab bukan hanya terletak di bahu ibu bapa tetapi juga di bawah tanggungjawab kerajaan, agensi penguat kuasa, dan penyedia platform digital,” tegasnya.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera dikelar di leher dekat Batu Pahat, yang mana insiden itu dipercayai dipengaruhi oleh permainan dalam talian popular dalam kalangan kanak-kanak, ‘Roblox’.
Kecederaan kanak-kanak itu disyaki dilakukan abang kepada kanak-kanak terbabit yang berusia sembilan tahun.
Ia dipercayai kes kedua selepas seorang remaja perempuan maut dibunuh oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor, yang turut dikatakan akibat terpengaruh dengan permainan video dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




