Pegawai TLDM tak mengaku terima suapan RM93,800

Pegawai TLDM tak mengaku terima suapan RM93,800

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas lapan pertuduhan menerima suapan secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM93,800 antara Oktober 2023 hingga April lalu.

Tertuduh, Mahazam Ali, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, pegawai berpangkat Kapten itu didakwa menerima wang berjumlah antara RM10,000 hingga RM14,400 daripada seorang lelaki melalui seorang wanita perantara.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya sebagai Pengarah Strategi Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia dan Pengarah Cawangan Komunikasi Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan di sebuah cawangan bank di Shah Alam antara 13 Oktober 2023 hingga 25 April 2025.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin kemudian mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan.

Peguam, Lee Keng Fatt kemudian memohon tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan jumlah RM5,000 dan bersedia mematuhi kesemua syarat tambahan.

“Anak guam masih menanggung anak berusia 22 tahun yang sedang menuntut di sebuah universiti awam. Tertuduh juga adalah penanggung tunggal turut menanggung ibunya berusia 84 tahun yang menghidap demensia dan perbelanjaan rawatan berkala,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan mematuhi syarat tambahan yang dicadangkan seperti melaporkan diri ke Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi termasuk rakan sekerja di Kementerian Pertahanan serta melarangnya daripada mengakses sebarang fail dan data yang mempunyai kaitan dengan kesnya.

Media pada Ogos lalu melaporkan SPRM menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor berhubung sindiket penyeludupan yang beroperasi di Johor.

Turut ditahan adalah dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta warga asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top