sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran lelaki negara, Chen Tang Jie masih perlu dipantau meskipun dia sudah mula berlatih seperti biasa namun status untuk menyertai kejohanan akan datang belum dapat disahkan lagi.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, pemain itu mengalami kecederaan di bahu kanan tetapi pasukan perubatan mengesahkan dia berada dalam kondisi baik untuk menjalani latihan seperti biasa.
“Berdasarkan laporan doktor, dia memang dibenarkan berlatih semula tetapi masih dalam proses rawatan. Jadi dia perlu lebih berhati-hati ketika latihan.
“Kami juga akan mendapatkan perkembangan terkini daripada ahli fisioterapi mengenai tahap kecederaannya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Untuk makluman, pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan ketika bertemu dengan pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang pada pusingan kedua Terbuka Perancis dua minggu lalu.
Ekoran itu, juara dunia 2025 itu terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Terbuka Hylo yang sedang berlangsung minggu ini.
Sebelum ini, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto memaklumkan bahawa pihaknya akan terus mengikut perkembangan Tang Jie sebelum memutuskan untuk menyertai Masters Jepun (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November) atau sebaliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




