SPRM komited perkuat ekosistem tatakelola baik negara

SPRM komited perkuat ekosistem tatakelola baik negara

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memperkukuh ekosistem tatakelola baik negara melalui projek pembangunan Garis Panduan Tatakelola Baik bagi Sektor Awam Malaysia (MyGovernance) dan Indeks Tatakelola Malaysia (MGI).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, MyGovernance akan menjadi set piawaian tatakelola baik untuk sektor awam, manakala MGI akan berperanan sebagai mekanisme pemantauan dan penilaian bagi mengukur tahap tatakelola.

“Dalam pembangunan garis panduan ini, definisi ‘tatakelola baik’ perlu diberi perhatian dengan memberi fokus kepada isu sebenar dalam konteks Malaysia.

“Ini bagi memastikan garis panduan dan indeks yang akan dibangunkan kelak adalah bersesuaian dengan perundangan, dasar dan hala tuju kementerian, jabatan serta agensi Kerajaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek (PSC) bagi Projek ‘Development of MyGovernance and Malaysian Governance Index (MGI) for a Dynamic National Good Governance Ecosystem’ di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Menurutnya, projek itu juga sejajar dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Projek berkenaan akan dilaksanakan oleh SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN), SPRM dan diketuai Pengarah Kanan BPGN, Datuk Idris Zaharudin sebagai Pengarah Projek Nasional, dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP).

Dalam pada itu, Ahmad Khusairi menyeru semua ahli PSC yang dilantik supaya memberikan komitmen penuh serta memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan projek ini dalam memperkukuh tatakelola baik negara.

Terdahulu, Deputy Resident Representative UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Besian Xhezo mengadakan kunjungan hormat hampir sejam ke atas Ahmad Khusairi di pejabatnya membincangkan pelbagai perkara termasuk beberapa usaha sama strategik UNDP-Malaysia yang pernah dilaksanakan oleh UNDP selari dengan agenda nasional.

Turut hadir, Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin dan Timbalannya, Mohd Gunawan Che Ab Aziz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top