Pesawat ringan terhempas, juruterbang maut

Pesawat ringan terhempas, juruterbang maut

New York: Seorang juruterbang maut, manakala penumpangnya cedera parah selepas sebuah pesawat ringan terhempas di kawasan perumahan berhampiran Lapangan Terbang Daerah Saratoga, New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Memetik portal MSN, dalam kejadian itu, dua mangsa berjaya ditarik keluar daripada serpihan pesawat oleh penduduk yang bergegas membantu selepas menyedari nahas.

Menurut laporan, pesawat berkenaan tiba-tiba menjunam sebelum melanggar sebatang pokok dan terhempas hanya kira-kira satu meter (m) dari sebuah rumah.

Syerif Daerah, Michael Zurlo berkata, pesawat itu hampir mengenai struktur kediaman berkenaan dan beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran.

Ketika kejadian, kawasan berkenaan dilanda tiupan angin kencang berkelajuan sehingga 50 batu (kira-kira 80 kilometer) sejam yang dipercayai menyukarkan kawalan pesawat.

Dalam pada itu, seorang saksi memberitahu, angin yang kuat menyebabkan dia tidak mendengar langsung bunyi pesawat itu terhempas.

Difahamkan, pesawat jenis Mooney M20E keluaran 1964 itu dilaporkan baru sahaja bertukar pemilikan bulan lalu.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa penerbangan, dan tiada laporan awal mengenai masalah teknikal dilaporkan setakat ini.

Nahas itu berlaku hanya seminggu selepas suami isteri maut apabila pesawat mereka terbakar selepas melanggar sebuah kenderaan di lebuh raya sibuk di Dartmouth, Massachusetts.

Dalam insiden berasingan di Doncaster, United Kingdom (UK) pula, seorang lelaki berusia 70 tahun turut maut apabila helikopter yang dinaikinya terhempas berhampiran sebuah syarikat kitar semula.

Juruterbang berusia 41 tahun bersama dua penumpang lain termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan wanita berusia 58 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua insiden berkenaan kini disiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang membabitkan pesawat kecil dan helikopter itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top