am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti dan mendapatkan laporan daripada pegawai sekiranya terdapat kit ujian influenza yang tidak sah dan meragukan dijual di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia sangat penting supaya tiada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
Katanya, orang ramai yang mengalami gejala menunjukkan tanda wabak influenza disarankan segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius serta memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya dan ujian sendiri atau rawatan tanpa panduan profesional bukanlah polisi yang disarankan,” katanya pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Kedua Penghidap dan Penjaga Talasemia, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kebimbangan terhadap penularan wabak influenza yang diambil peluang pihak tertentu dengan menjual kit ujian influenza yang tidak sah dan meragukan.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dalam kenyataannya menyarankan orang ramai menyemak status pendaftaran kit ujian influenza sebelum membuat pembelian atau penggunaan bagi memastikan produk itu berdaftar dan mematuhi piawaian keselamatan.
Dr Dzulkefly berkata, sekiranya terdapat gejala yang agak berat contohnya seperti sesak nafas atau gangguan pernafasan yang teruk, jangan cuba rawat sendiri atau membeli ubat tanpa nasihat pakar.
Katanya, sekiranya terdapat simptom begitu, segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
“Ujian influenza hanya dibenarkan dibuat di klinik swasta atau klinik kesihatan awam yang terpilih dan bukan dilakukan secara kendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




