Kuala Lumpur: Semua negara termasuk kuasa besar harus menghormati pendirian ASEAN yang menolak sebarang bentuk senjata berbahaya kepada manusia, khususnya senjata nuklear.
Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pendirian itu selaras dengan aspirasi ASEAN yang mahu memastikan rantau ini kekal sebagai kawasan bebas senjata nuklear, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
“Seperti yang saya tegaskan berulang kali, ASEAN menetapkan pendirian bahawa rantau ini mesti bebas daripada senjata nuklear.
“Sebagai sebuah negara anggota, Malaysia percaya bahawa apa jua bentuk senjata yang boleh memusnahkan atau menjejaskan manusia tidak seharusnya diterima,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus ke-12, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth ada berbincang isu nuklear.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengarahkan ujian senjata nuklear secara mengejut sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan global antara kuasa besar.
Arahan itu dibuat menerusi akaun Truth Social miliknya, sebelum menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin China, Xi Jinping di Korea Selatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



