Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung meriah di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri malam tadi menyaksikan kemenangan besar Media Prima mencipta sejarah apabila mendominasi malam anugerah dengan kemenangan menerusi tiga produk terbitan dan kolaborasinya.
Filem Blood Brothers: Bara Naga, hasil kolaborasi Media Prima bersama Skop Production sebagai rakan promosi meraih trofi Pengarah Terbaik (Syafiq Yusof & Abhilash Chandra), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly), Sinematografi Terbaik (Nicholas Chin), Lagu Tema Terbaik (Bara Jiwa), Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik (Defenderz Action Team) dan Anugerah Khas Filem Box Office.
Sementara itu, produk terbitan Media Prima, Rindu Tak Berpenghujung dinobatkan sebagai Dokumentari Terbaik dan filem Ejen Ali The Movie 2, kolaborasi antara Primeworks Studios, WAU Animation dan Komet Productions meraih Anugerah Khas Juri.
Sementara itu, filem Babah terbitan Nads Media Entertainment Sdn Bhd dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Filem arahan Shah Faizul itu turut mengungguli beberapa kategori utama termasuk Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina), Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Harapan (Shah Faizul). Kejayaan itu sekaligus menandakan kehebatan Babah sebagai naskhah beremosi yang mengetengahkan nilai kekeluargaan dan kemanusiaan secara jujur serta menyentuh hati.
Turut mencuri perhatian ialah Soloz: Game of Life yang unggul dalam kategori teknikal seperti Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik. Filem Takluk: Lahad Datu pula menerima pengiktirafan khas juri, manakala Mencari Ramlee memenangi Rekaan Kostum Terbaik melalui kerja kreatif Farah Syaliq. Anugerah Khas Sepanjang Zaman diserahkan kepada Datuk Ahmad Tarmimi Siregar atas sumbangan besar beliau terhadap industri perfileman tempatan, manakala Hassan Muthalib pula menerima Anugerah Khas Karyawan.
Malam penuh gemilang itu dikendalikan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim serta disiarkan secara langsung di TV2.
Penganjuran FFM34 tahun ini bukan sekadar mengiktiraf karya terbaik tempatan, malah memperlihatkan keupayaan industri perfileman Malaysia untuk terus berkembang dengan keberanian bereksperimen, kekuatan teknikal dan penceritaan yang semakin matang.
Semak senarai penuh pemenang FFM 34:
Filem Terbaik: Babah (Nads Media Entertainment Sdn Bhd)
Pengarah Terbaik: Syafiq Yusof & Abhilash Chandra (Blood Brothers: Bara Naga)
Pengarah Harapan: Shah Faizal (Babah)
Cerita Asal Terbaik: Nadia Nadzri (Babah)
Lakon Layar Terbaik: Wan Rafiq (Babah)
Pelakon Lelaki Terbaik: Qi Razali (Babah)
Pelakon Wanita Terbaik: Sweet Qismina (Babah)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly (Blood Brothers: Bara Naga)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Telaga Suriram)
Pelakon Lelaki Harapan: Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)
Pelakon Wanita Harapan: Michelle Lungan (Tegkang)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Puteri Rafasya (Telaga Suriram)
Anugerah Khas Juri 1: Ejen Ali The Movie 2
Anugerah Khas Juri 2: Takluk: Lahad Datu
Anugerah Khas Karyawan: Hassan Muthalib
Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Datuk Ahmad Tarmimi Siregar
Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team (Blood Brothers: Bara Naga)
Penyunting Terbaik: Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof (Soloz: Game Of Life)
Sinematografi Terbaik: Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)
Penataan Seni Terbaik: Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)
Penataan Bunyi Terbaik: Mohsin Othman & Technica Studios (Soloz: Game Of Life)
Penyunting Terbaik: Soloz: Game Of Life
Lagu Tema Terbaik: Bara Jiwa (Blood Brothers: Bara Naga)
Skor Muzik Asal Terbaik: Soloz: Game Of Life
Kesan Khas Visual Terbaik: Jehcob & Sam (Soloz: Game Of Life)
Poster Terbaik: Arst (Tegkang)
Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Farah Syaliq (Mencari Ramlee)
Tatarias/Solekan Terbaik: Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu
Filem Pendek Terbaik: Rastech Worldwide Sdn Bhd (Saranghae)
Dokumentari Terbaik: Media Prima Berhad (Rindu Tak Berpenghujung)
Anugerah Khas Filem Box Office: Blood Brothers: Bara Naga




