lizamridzuan@hmetro.com.my
SELEPAS menunggu untuk satu tempoh yang lama, akhirnya peminat supermoped tempatan kini mempunyai pilihan terbaharu menerusi model Modenas Z15GT Serba Baharu.
Ia dilancarkan bersempena dengan perlumbaan MotoGP yang berlangsung di Malaysia yang diadakan di Litar Antarbangsa Sepang (SIC).
Modenas menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit setahun untuk model itu yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan dan apa yang lebih utama ia dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Malaysa dengan kerjasama daripada Kawasaki Jepun dan Austria.
“Buat masa ini kami menjangkakan jualan sebanyak 2,000 unit sehingga hujung tahun ini dan menjelang 2030 jumlah pengeluaran dijangka mencapai 150,000 unit setahun selain mengembangkan ke pasaran luar negara seperti Filipina, Greece, Turkiye dan Kemboja dengan sasaran 60,000 unit dalam tempoh lima tahun,” katanya ketika pelancaran model itu.
Model ini menerima kepakaran daripada 31 jurutera dan pereka tempatan dalam tempoh lebih tiga tahun, menjadikan projek ini sebagai mercu tanda penting dalam evolusi Modenas daripada syarikat pemasangan kepada pembangun produk global.
Model Z15GT juga mencapai 78 peratus tahap pengeluaran tempatan, sejajar dengan matlamat Dasar Automotif Negara 2020 (NAP2020) dan sasaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memperkasa rantaian bekalan dalam negara.
Modenas turut menegaskan bahawa keutamaan diberi kepada penyediaan alat ganti dan servis selepas jualan melalui rangkaian pusat servis serta pengedar eksklusif Kawasaki di seluruh negara, bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lancar.
Modenas Z15GT dibangukan berasaskan falsafah rekaan ‘Sugomi’ dikuasakan dengan enjin 149.5cc, sejukan cecair, DOHC, silinder tunggal, empat lejang, Euro 4 dengan 16.7 kuasa kuda dan tork 13.5Nm.
Ia juga dengan transmisi 6 kelajuan klac manual dengan tangki bahan api 5.7 liter, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kunci Pintar, lampu kecemasan dan pengecas USB.
Motosikal ini juga dilengkapi dengan pencahayaan LED, panel meter LCD dan brek cakera hadapan dan belakang, monoshock, fork hadapan telesopik dan berat jentera sekitar 128 kilogram (kg).
Dimensi dengan ketinggian tempat duduk 780 milimeter (mm) dan jarak kelegaaan jalan sekitar 140mm, jarak antara roda 1,315mm menjadikan ia tampil gaya sporty.
Z15GT juga melalui ujian ketahanan sejauh 20,000 kilometer (km) selain menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV), ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu kelabu graphite, kelabu nardo dan merah rosso yang dijual pada harga RM8,288 (atas jalan tanpa insurans).
© New Straits Times Press (M) Bhd




