Pengusaha Dusun HR guna teknologi IoT pantau kesuburan tanah dan tanaman

Pengusaha Dusun HR guna teknologi IoT pantau kesuburan tanah dan tanaman

lizamridzuan@hmetro.com.my

DI Malaysia, gelombang transformasi pertanian kini semakin rancak terutama dengan kemunculan teknologi Internet Kebendaan (IoT) yang menjadikan ladang lebih pintar, cekap dan berdaya saing.

Bukan lagi sekadar tanah, pokok dan air di ladang moden mula dilihat sebagai ekosistem data yang boleh dipantau secara digital untuk memastikan setiap titisan air dan butiran baja digunakan tepat pada waktunya.

Di Temerloh, Pahang, pendekatan ini direalisasikan menerusi Dusun HR, yang menjadi antara pelopor integrasi teknologi dan amalan agrolestari di peringkat usahawan tempatan.

Di bawah kendalian Ts Hafizal Ramli, seorang Teknologis Profesional dalam bidang Agro Based Technology berdaftar dengan ‘Malaysia Board of Technologists’ (MBOT) dan bertauliah sebagai Doktor Tanah (MySoilDoctor) di bawah Jabatan Pertanian Malaysia, Dusun HR ditubuhkan pada 2020 di RTK Terengging.

Dengan latar belakang teknikal dan pengalaman dalam pembangunan teknologi pertanian, Hafizal mengubah dusun ini menjadi ladang rujukan yang menggabungkan tanaman tropika seperti durian, nangka, kantan, ternakan ikan keli serta sistem sokongan digital berasaskan IoT.

Menurut beliau, elemen yang membezakan Dusun HR dengan ladang konvensional ialah gabungan sains tanah, inovasi teknologi dan amalan organik moden.

Unsur ini membentuk ekosistem yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah memastikan tanah kekal sihat dan subur untuk jangka panjang.

“Di sini, kita bukan menanam semata-mata. Kita membaca tanah, memahami keperluannya, dan bertindak berdasarkan data sebenar,” katanya.

Teknologi utama yang menjadi tunjang operasi dusun ini ialah Sistem IoTHR Smart Farming yang dibangunkan sendiri dan sistem ini bertujuan memantau bacaan kelembapan tanah, suhu, pH, NPK dan EC secara masa nyata.

Menerusi itu, keputusan berkaitan pengairan dan pembajaan tidak dilakukan berdasarkan andaian, tetapi berdasarkan data analitik yang tepat.

Melalui sistem automasi itu, air dan baja diagihkan terus kepada tanaman mengikut keperluan sebenar.

“Saya tak perlu ada di ladang setiap masa dan cuma memantau menggunakan telefon pintar untuk fungsi pam air hidup automatik dan pembajaan ikut jadual berdasarkan bacaan tanah,” jelasnya.

Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah mengurangkan pembaziran sumber serta membantu menjaga alam sekitar.

Selain sistem pengairan pintar, Dusun HR turut membangunkan Sistem Amaran Awal Tanah (Soil Health Indicator), iaitu teknologi amaran awal bagi mengenal pasti tanda kemerosotan tanah.

“Sistem ini membolehkan intervensi awal dilakukan sebelum masalah menjejaskan hasil tanaman, menjadikan operasi lebih stabil dan konsisten, sejajar dengan fokus dusun untuk mengekalkan tanah dalam keadaan optimum sepanjang masa,” katanya.

Namun, menurut Hafizal, teknologi bukan satu-satunya kekuatan Dusun HR apabila terdapat kaedah bio-organik turut diamalkan sebagai pelengkap kepada penggunaan IoT.

“Antaranya penggunaan biochar tempurung kelapa serta mikrob baik (IMO) untuk memperbaiki struktur tanah dan mengekalkan kesuburan tanah secara semula jadi.

“Gabungan teknologi digital dan rawatan organik ini menjadi formula utama kejayaan di dusun ini,” katanya.

Selain berfungsi sebagai ladang, Hafizal berkata, Dusun HR juga berperanan sebagai Pusat Agro Pendidikan Inovasi Pertanian Pintar, apabila petani lain boleh datang untuk belajar secara praktikal.

Di situ, penuntut pertanian, usahawan muda dan pekebun tradisional diberikan peluang melihat teknologi beraksi secara langsung dan belajar cara mengurus data ladang.

“Untuk masa hadapan, saya merancang menambah baik sistem IoTHR dengan integrasi Kecerdasan Buatan (AI) supaya keputusan agronomi boleh dijana secara automatik berdasarkan analisis data jangka panjang.

“Saya juga sedang merangka pembangunan Pusat Agro Inovasi dan Latihan Digital bagi melahirkan generasi baharu petani mahir teknologi serta mampu berdikari dan menyelenggara sistem sendiri,” katanya.

Matlamat jangka panjang Dusun HR ialah untuk menjadi Model Ladang Rujukan Pertanian Pintar Malaysia dan menarik lebih ramai golongan muda ke sektor agro.

Dengan pendekatan marhain serta tagline ‘ioTHR: Inovasi Pertanian Pintar Pada Harga Marhain’, ia mengangkat visi pertanian masa depan yang inklusif dan berteknologi tinggi dalam memastikan tanah kekal subur, hasil meningkat selain sekuriti makanan negara terjamin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top