Dua pelakon utama filem Babah, Qi Razali dan Sweet Qismina, dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM 34) yang berlangsung semalam, hasil lakonan penuh emosi dan menyentuh hati mereka dalam naskhah arahan Mohd Shah Faizul itu.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, mengakui tidak menyangka akan membawa pulang trofi idaman ramai itu, namun menyifatkan kemenangan tersebut hadir hasil kejujuran jalan cerita dan kekuatan emosi yang dipaparkan dalam Babah.
“Babah adalah karya yang sangat jujur. Ia bukan filem aksi atau seram, sebaliknya filem kekeluargaan yang mengangkat kisah seorang bapa yang bisu dan pekak. Kemenangan ini bukan untuk saya seorang, tetapi seluruh pasukan Babah.
“Saya banyak belajar tentang erti kasih seorang ayah sepanjang penggambaran ini. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang menjayakan Babah. Kemenangan ini untuk semua ‘babah’ di luar sana, semua babah memang hebat,” katanya penuh syukur.
Qi mengetepikan pencabar hebat lain seperti Aeril Zafrel (Laknat), Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
Sementara itu, Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 28, turut tidak menyangka akan mengungguli kategori tersebut, menewaskan beberapa pelakon berpengalaman lain.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Terima kasih kepada FFM 34, para juri dan seluruh tenaga produksi Babah. Ini adalah trofi pertama saya sejak mula berlakon dua puluh tahun lalu.
“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dalam memilih naskhah dan memastikan mutu lakonan saya sentiasa terbaik. Kemenangan ini juga untuk keluarga saya, terutama ibu dan suami yang tidak pernah berhenti memberi sokongan,” katanya yang mula menceburi dunia lakonan sejak berusia sembilan tahun.
Sweet menewaskan barisan pelakon hebat seperti Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu), Maya Karin (Telaga Suriram), Nabila Huda (Telaga Suriram) dan Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee).




