redzuan.muharam@hmetro.com.my
Melaka: Berat hati Mohd Hafizi Yunan untuk melangkah ke tempat kerja setiap hari kerana perlu meninggalkan ibunya yang sudah uzur bersendirian di rumah.
Bagaimanapun, Mohd Hafizi, 37, yang juga anak tunggal perlu bekerja demi tanggungjawab menyara ibu tercinta, Junidah Hassan, 72, selepas kematian bapa tiri akibat sakit tua pada 2008.
Mohd Hafizi berkata, sesekali, adik beradik tirinya datang menjenguk ibu namun selebihnya, dia memantau ibunya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dihubungkan dengan telefon bimbit.
Menyingkap kisahnya, Mohd Hafizi yang bekerja sebagai pembantu di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyedari kesihatan ibunya merosot sejak lima tahun lalu apabila kakinya muka membengkak.
Bagaimanapun, Mohd Hafizi dari Telok Mas, di sini, berkata, keadaan bertambah buruk sejak dua tahun lalu hingga Junidah terpaksa bergerak dengan bantuan tongkat pada awal tahun ini sebelum hilang upaya berjalan Julai lalu.
“Emak pun ada asma yang teruk dan baru-baru ini paras oksigen menurun serta ada jangkitan kuman pada paru-paru hingga dimasukkan ke hospital.
“Tangan dan kaki kanan juga tak dapat bergerak akibat oksigen juga pengaliran darahnya tak bagus.
“Emak bukan lumpuh cuma doktor kata, ada kemungkinan diserang angin ahmar tahap ringan jika terlambat dapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berikutan keadaan ibu yang memerlukan perhatian, Mohd Hafizi perlu membantu ibunya yang tidak dapat menguruskan diri dalam banyak perkara.
Lantaran itu, Mohd Hafizi perlu banyak berkorban masa dan keseronokan dengan rakan di luar waktu kerja demi menjaga ‘syurganya’.
“Sekarang masa untuk saya ketepikan kehendak dan kemahuan diri kerana perlu dulukan emak. Saya pun terpaksa tolak mengikuti kursus ditawarkan majikan sebab nak jaga jaga emak.
“Itu bab kerja dan rutin harian pula bermula awal kerana bangun jam 5 pagi untuk mandikan serta uruskan emak termasuk pakaikan lampin.
“Kemudian, saya beri emak makan roti atau kuih dan minum susu formula seperti disyorkan doktor. Selesai semua, saya akan ke tempat kerja dan balik sambung beri emak makan, tukar lampin kemudian bagi makan ubat sebelum dia tidur.
“Mencabar juga kerana badan emak berisi dan saya pula kena angkat untuk mandikannya tapi buat juga walaupun ada kalanya tak larat sebab letih bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Hafizi menganggap apa dilakukan itu sebahagian caranya berbakti dengan ibunya yang membesarkannya sejak kecil sehingga dewasa.
“Saya pernah tengok emak jaga nenek waktu sakit dulu dan sekarang giliran saya pula jaga emak.
“Ini juga cara saya nak habiskan masa dengan emak kerana jujurnya, saya rindu nak rasa masakannya dan dengar bebelannya tapi sekarang semua sudah tiada.
“Peluang jaga emak pun saya anggap satu anugerah daripada Allah SWT kerana tak semua orang ada kesempatan jaga ibu mereka, mungkin hanya yang terpilih saja,” katanya.
Berhubung perkongsian di TikTok, Mohd Hafizi berkata, video dikongsikan asalnya untuk simpanan peribadi dan dijadikan kenangan.
“Tapi Alhamdulillah, ramai titipkan doa buat emak. Terima kasih dan diharap, perkongsian saya itu dapat beri mesej kesedaran kepada yang menonton untuk jaga sebaik mungkin emak, ayah atau adik beradik yang sakit.
“Kalau boleh, jaga mereka sama seperti jaga diri sendiri kerana apa dilakukan terutama menjaga ibu bapa adalah ‘ladang pahala’ buat diri kita juga,” katanya yang turut menanggung ibunya dengan wang hasil pendapatan daripada perkhidmatan sewaan inap desa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




