Sidang Kemuncak ASEAN yang baru berakhir di Kuala Lumpur bukan sekadar pesta protokol, tetapi pentas sebenar untuk menilai keupayaan Malaysia memimpin rantau ini dengan tenang dan strategik.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Profesor Datuk Dr. Mohd Faiz Abdullah menyifatkan acara itu sebagai bukan sekadar perarakan rasmi, tetapi satu ballet diplomasi moden yang rumit, pantas dan halus.
Katanya, kejayaan penganjuran itu adalah hasil penyelarasan strategi dan ketekunan hampir dua tahun di sokong oleh pasukan petugas tinggi yang memacu visi ASEAN 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur.
Beliau turut mengakui ada kompromi dilakukan, namun itulah harga bagi mencapai konsensus dan seni dalam tadbir urus serantau.
“Meyakinkan seorang Presiden Amerika yang skeptikal, yang sebelum ini hanya pernah menghadiri satu Sidang Kemuncak ASEAN untuk kembali semula, merupakan kejayaan diplomatik senyap Malaysia.
“Donald Trump mungkin terkenal dengan sifat tidak dapat dijangka dan kecenderungannya mencetuskan perbezaan pandangan, namun tidak dapat dinafikan pengaruh jawatannya terhadap rantau ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Faiz berkata penglibatan Trump membuktikan keteguhan diplomasi Malaysia dan menjadi isyarat kepada kebangkitan semula suara ASEAN di pentas dunia.
Katanya, antara pencapaian penting turut menyaksikan termeterainya perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand hasil rundingan berterusan Malaysia yang disahkan bersama oleh Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kedua-dua pemimpin mengakui betapa sukarnya memujuk dua jiran berdaulat itu untuk berundur dari tebing konflik, namun mengakui keamanan, walau tidak sempurna, tetap satu-satunya jalan ke hadapan.
“Perjanjian itu mungkin tidak menyelesaikan punca pertikaian, tetapi ia memulihkan ketenangan yang hilang,” katanya.
Malaysia turut memperkukuh diplomasi global dengan menjemput Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi, langkah yang disifatkan Dr. Mohd Faiz sebagai menunjukkan keberanian Kuala Lumpur memperluas jalinan luar ASEAN.
Beliau berkata, dalam dunia yang semakin tegang antara Washington dan Beijing, pendekatan antara wilayah menjadi jalan tengah terbaik untuk mengekalkan keseimbangan.
Katanya, antara momen penting lain ialah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang lahir di Kuala Lumpur.
“Walaupun sering dikritik sebagai terlalu berprotokol dan kehilangan ketajaman, Malaysia dan negara anggota lain berjaya mengembalikan semangat asalnya dengan meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, iaitu kenyataan bersama pertama dalam tiga tahun yang mencapai persetujuan penuh semua anggota EAS,” tegasnya.

Dalam aspek ekonomi, Dr. Mohd Faiz berkata Malaysia menggunakan Kepengerusian ASEAN bagi memperkukuh hubungan dagangan dalam ASEAN agar lebih tahan terhadap kejutan tarif dan tekanan geopolitik.
Antara hasil utama ialah pemodenan Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA), naik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0) dan kemajuan rundingan bagi Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Jelas beliau, langkah ini bukan sekadar tentang potongan tarif tetapi memodenkan peraturan kastam dan menjadikan perdagangan rentas sempadan lebih cepat, mudah dan murah.
Dr. Mohd Faiz menambah, walaupun cabaran seperti jurang pembangunan dan sekatan bukan tarif masih membelenggu, arah tuju ASEAN kini lebih jelas dan optimistik.
Beliau turut memuji pendekatan Perdana Menteri yang menggabungkan prinsip dan pragmatisme, ketegasan serta keyakinan bahawa suara Malaysia mesti didengari, bukan sekadar dicatat, apatah lagi diketepikan.
Menurutnya, Malaysia kini muncul sebagai jambatan kukuh di tengah dunia yang bergolak sekali gus menunjukkan bahawa kuasa kecil dan sederhana masih mampu memainkan peranan besar melalui kejelasan matlamat dan konsistensi moral.
“Dalam rantau yang sering didefinisikan oleh tarikan kuasa besar, Malaysia memilih penglibatan tanpa tunduk, keyakinan tanpa keangkuhan dan kebebasan tanpa pengasingan.
“Cabaran selepas ini ialah mengekalkan momentum melampaui sinaran sidang kemuncak, menterjemah kata-kata menjadi institusi dan kerjasama yang berkekalan.
“Jika semangat itu terus hidup, Kepengerusian Malaysia akan dikenang bukan kerana gemerlap majlisnya, tetapi kerana keanggunannya; bukan kerana kemeriahan, tetapi kerana tujuannya,” katanya.




