khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan 1,521 permohonan kepada penyedia platform untuk menurunkan kandungan jelik atau jelik melampau, membabitkan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, permohonan itu dari 1 Januari 2022 sehingga 15 Oktober lalu, dengan 96 peratus atau 1,456 kandungan sudah diturunkan penyedia platform berdasarkan garis panduan komuniti mereka dan aplikasi undang-undang tempatan yang relevan.
“MCMC melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta undang-undang lain yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan kandungan berunsur mudarat dapat dikawal sekali gus melindungi golongan rentan khususnya remaja dan kanak-kanak,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC juga melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi atau ASP (C) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.
Menurutnya, kerajaan menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bagi memperkukuhkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
“Akta ini bertujuan untuk mengawal selia kandungan memudaratkan serta menetapkan kewajipan dan obligasi bagi penyedia pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan.
“Ketika ini, MCMC sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866 yang akan memperincikan tanggungjawab penyedia perkhidmatan yang dilesenkan, dalam menguruskan kemudaratan dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




