rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap menganggap pertembungan menentang Shanghai Shenhua FC daiam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok tampak sukar dan akan turun dengan corak permainan berhati-hati.
Ketua jurulatih, Xisco Munoz berkata, tiada perlawanan mudah buat JDT, namun tetap bersikap positif bagi mengharungi aksi di laman sendiri dalam usaha memburu kemenangan kedua selepas menang ke atas Chengdu Roncheng 2-0 baru-baru ini.
“Ketika ini momentum pemain berada dalam keadaan positif dan harus dikekalkan malah karakter serta taktikal juga perlu dipertingkatkan intensiti permainan dan mengelak daripada pasukan lawan menguasai permainan kerana ia penting jika mahu meraih kemenangan.
“Aksi menentang kelab dari China penting seawal minit pertama dan tidak boleh beri ruang kepada mereka walaupun kami pernah mengatasi lawan 3-0 musim lalu, tapi saya anggap ia perlawanan baru dan kami perlu tampil melebihi 100 peratus dengan beraksi maksimun pada aksi itu nanti.
“Saya menyangkal dakwaan jurulatih Shanghai Shenghua (Leonid Slutsky) JDT ibarat pasukan kelab Sepanyol beraksi di ACLE, sebaliknya peraturan membenarkan barisan pemain import beraksi di pentas elit Asia selain kelibat pemain import dan kebangsaan yang bersedia untuk diturunkan dan kami adalah JDT dan bukan bayangan kelab dari Sepanyol,” katanya.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan, Shanghai Shenhua pasti akan turun dengan kesebelasan terbaik tatkala mereka juga berada di posisi kedua Liga Super China (CSL) dan tetap menghormati pasukan itu namun skuad Harimau Selatan akan turun dengan intensiti maksimun dan memberi tumpuan untuk mendominasi di posisi tengah pada perawanan itu nanti.
Beliau juga tidak menafikan ada beberapa pemain yang tersenarai masih belum pulih daripada kecederaan dan proses pemulihan sedang dilaksanakan malah apa jua keputusan akan ditentukan sebelum aksi menentang Shanghai Shenhua.
“Ada pemain tidak beraksi malam esok dan ada pemain akan mencapai tahap 100 peratus dan bersedia beraksi, buat masa ini saya enggan dedahkan pemain mana yang akan disisihkan dan boleh beraksi kerana semua itu adalah perancangan taktikal,” ujar Munoz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




