am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 6 November ini hingga 26 Mac tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kementerian sudah menetapkan tiga tahap persediaan utama bagi menghadapi kemungkinan banjir.
Katanya, ia termasuk pengaktifan sepenuhnya bilik gerakan dengan petugas yang bersiap siaga 24 jam sehari pada tahap paling kritikal.
“Di peringkat daerah dan negeri, kerjasama turut diperkukuh bersama agensi lain termasuk penambahan kemudahan seperti jambatan modular bagi memastikan kesiapsiagaan berjalan lancar,” katanya pada sidang media JKR Greenday 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Ismail.
JKR Greenday yang diadakan secara dwitahunan berfungsi sebagai wadah strategik dan platform perkongsian untuk memperkukuh kerjasama antara pihak berkepentingan utama industri pembinaan.
Program itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap pembangunan mampan dan inovatif dalam industri berkenaan.
Pada majlis sama, 12 projek terpilih menerima Sijil Penarafan Hijau (pH) JKR, melibatkan kontraktor, perunding dan pelanggan yang mencapai penarafan tiga bintang dan ke atas.
Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaporkan sebanyak 49 jambatan modular akan disediakan di seluruh negara melalui kerjasama antara NADMA, JKR dan Kor Jurutera Angkatan Tentera (RAJD) bagi menghadapi MTL kali ini.
Nanta berkata, sebagai langkah penambahbaikan, JKR akan terus memperkukuh aset sedia ada dengan penambahan jambatan modular di kawasan berisiko terputus hubungan.
“Sekiranya ada keperluan mendesak, kita akan mohon tambahan aset.
“Apa yang ada kita gunakan sebaiknya, tetapi jika bencana lebih serius, kita akan tambah keperluan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




