Kes seleweng, seludup petrol turun sejak laksana penyasaran subsidi – Armizan

Kes seleweng, seludup petrol turun sejak laksana penyasaran subsidi – Armizan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan terdapat penurunan kes penyelewengan dan penyeludupan sejak pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan di negara ini.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi tempoh 31 Ogos hingga 29 September 2025, sebanyak 71 kes dicatatkan dengan 32,229 liter petrol RON95 telah disita.

“(Ia) berbanding 61 kes dan 17,724 liter petrol RON95 disita selepas penyasaran subsidi bermula 30 September hingga 29 Oktober 2025,” katanya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Peringkat Dasar bagi KPDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata, KPDN juga akan memantau isu melibatkan pemegang lesen motosikal yang habis menggunakan had subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter di negeri berhampiran sempadan yang dikhuatiri terlibat dalam kegiatan penyelewengan.

“Perkara ini akan dipantau dan disusuli dengan analisa data-data yang diterima daripada pihak Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

“Ini bagi mengenal pasti trend pembelian dan penggunaan petrol RON95 oleh individu yang hanya memiliki lesen motosikal terutamanya di sempadan negara.

“Siasatan akan dilakukan dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya berlaku pembelian untuk tujuan penyelewengan dan penyeludupan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan pihaknya telah meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) melalui Ops Tiris yang telah dimulakan sejak Mac 2023.

Menurutnya, berdasarkan statistik Ops Tiris 3.0 bagi tempoh Januari 2024 hingga 29 Oktober 2025, KPDN telah melakukan 84,264 pemeriksaan dan menghasilkan sebanyak 1,690 kes.

Katanya, ia melibatkan penyelewengan petrol RON95 dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM1.6 juta.

Dalam perkembangan lain, Armizan menyatakan dakwaan yang menyatakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu-isu teknikal kurang kritikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat adalah tidak tepat.

Katanya, selaras dengan iltizam kerajaan Madani, MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaannya terhadap tiga jenis kartel utama.

“Pertama, kartel tipuan bida dalam perolehan kerajaan; kedua, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian dan ketiga, kartel dalam perkhidmatan asas pengguna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top